Mana mai sampai RM1 bilion, Mukhriz bidas Sanusi

Mukhriz menempelak Sanusi berhubung isu tuntutan balak.
Mukhriz menempelak Sanusi berhubung isu tuntutan balak.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoal kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa tuntutan ganti rugi daripada syarikat konsesi balak yang dibatalkan mencecah RM1 bilion.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, Mukhriz melahirkan rasa hairan dengan jumlah tuntutan yang begitu tinggi, berbeza dengan nilai dikemukakan ketika beliau menerajui Kedah.

Menurutnya, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir, tidak ada tuntutan seumpamanya yang dihantar pemilik konsesi balak kepada pihaknya.

“Mana mai tuntutan sampai RM1 bilion tu pula? Zaman PH tak sampai dua minggu lepas pun tak ada tuntutan dari pemilik konsesi balak sebanyak itu. Saya dah pesan dalam ucapan saya ketika melepaskan jawatan MB untuk tidak membuka balik kawasan balak Kedah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah tidak berhasrat teroka kawasan baharu pembalakan

Sanggup hilang hasil balak demi jaga sumber air

Mukhriz turut menempelak Muhammad Sanusi berhubung cadangannya membuka semula konsesi balak bagi menyelesaikan tuntutan berkenaan.

“Belum panas kerusi MB tu, dah buka balik? Buka semula konsesi balak?” soal Mukhriz lagi.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan membuka kembali konsesi balak bagi mengelak membayar tuntutan lebih RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri terdahulu mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Muhammad Sanusi menegaskan, kawasan lain yang digantikan sebagai opsyen mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Sementara Facebook Mukhriz Mahathir FC menegaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu begitu sayang kepada alam sekitar negeri ini sehingga sanggup meredah Hutan Simpan Ulu Muda dan bermalam di kawasan itu untuk menikmati sendiri panaroma, pada Julai 2019 lalu.

Mukhriz meninjau Hutan Simpan Ulu Muda setelah kerajaan negeri menghentikan pembalakan di kawasan berkenaan, Julai lalu.
Mukhriz meninjau Hutan Simpan Ulu Muda setelah kerajaan negeri menghentikan pembalakan di kawasan berkenaan, Julai lalu.

“Tidak puas dengan hanya membaca laporan dari atas meja, MB Kedah ketika itu membuat keputusan untuk menikmatinya sendiri dengan bermalam di Hutan Ulu Muda. Antara terlibat Jabatan Hutan, Perhilitan, PDRM, ATM, NGO WWF dan penyelidik dari UMT.

"Kami diberi taklimat lengkap oleh pakar-pakar terlibat dalam penyelidikan di Ulu Muda. Contohnya simpanan air di Ulu Muda mampu bertahan berapa tahun jika ada aktiviti pembalakan atau tiada pembalakan serta kepentingan menjaga ekologi di kawasan tadahan hujan terbesar di Utara tanah air,” katanya.

Menurutnya, ia susulan daripada tindakan kerajaan negeri Kedah membatalkan permohonan pembalakan di kawasan Ulu Muda demi memastikan bekalan air untuk rakyat Kedah tidak tercemar termasuk negeri-negeri sekitarnya yang mendapat bekalan air tanpa sebarang gangguan.

“Kerajaan pimpinan PH ketika itu telah gazet radius kawasan tadahan air di Ulu Muda supaya diperbesarkan. Kita cuma ada satu bumi, kita perlu cari penyelesaian agar kehidupan manusia tidak menjejaskan bumi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mukhriz mengumumkan untuk menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda seluas 83,753 ekar, menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di kawasan itu kepada 123,855 ekar.

Selain itu, kerajaan juga akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air, selain mengekalkan warisan hutan semula jadi dengan mewujudkan sebuah taman negeri di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri sanggup kehilangan hasil balak demi menjaga sumber air untuk rakyat.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk merancang pelan pembangunan lestari dan pemeliharaan lebih berkesan kepada kawasan hutan di Kedah, supaya menjaga sumber air serta flora fauna. Antara usaha termasuk mendapatkan bantuan daripada United Nation Development Program (UNDP), World Wildlife Fund (WWF), Malaysia Nature Society (MNS) dan agensi kerajaan untuk usaha perlindungan alam sekitar khususnya di Hutan Simpan Ulu Muda,” katanya.