Polis patahkan sindiket dadah guna kurier ke Singapura

Ayob Khan ( tengah) menunjukkan barang rampasan dadah dari sindiket pengedaran dadah.
Ayob Khan ( tengah) menunjukkan barang rampasan dadah dari sindiket pengedaran dadah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM1.03 juta yang menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran kurier untuk edaran di Singapura sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 33 serbuan telah dilakukan bagi menangkap ahli sindiket berkenaan susulan rampasan dadah di sebuah syarikat kurier di Senai pada 15 Mei lalu.

Katanya, polis juga berjaya membongkar sebuah makmal mini yang digunakan sebagai tempat memproses dadah jenis ectasy di kawasan Ulu Tiram.

"Seramai 30 suspek berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun ditahan membabitkan 15 lelaki warga tempatan, 2 lelaki warga Singapura, seorang lelaki warga Indonesia dan seorang perempuan warga Indonesia serta seorang perempuan warga.

"Dua lelaki warga Singapura merupakan individu yang dikehendaki berkaitan dadah di Singapura.

"Hasil saringan urin mendapati 12 suspek positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 39 B, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 hingga 28 Mei," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas polis.
Pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas polis.

Menurut Ayob Khan, sebanyak tiga akaun bank tempatan berjumlah RM85,616 milik tiga individu yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah itu turut disita.

Artikel Berkaitan:

"Antara dadah yang dirampas ialah 8.4 kilogram syabu, 1,299 gram ketamin, 105 gram serbuk ecstacy, 1,430 pil ecstasy,108 biji pil eramin dan 6.1gram ganja.

"Lain- lain rampasan ialah mesin pencetak pil, pengisar, pelbagai barangan kemas, sembilan kenderaan, sebuah motorsikal, wang tunai Malaysia dan Singapura. Nilai keseluruhan sitaan ini sebanyak RM 452,367," katanya.

Jelasnya polis sentiasa bekerjasama dengan polis Singapura dengan berkongsi maklumat bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah termasuk menggunakan kurier.

"Kita ada berkongsi maklumat dengan narkotik Singapura termasuk alamat penghantaran yang ada di sana. Saya pasti polis Singapura akan melakukan operasi susulan," katanya.