Nyaris maut, kereta tiba-tiba terbakar

No Image Caption
A
A
A

MUAR - Dua sahabat nyaris maut selepas kereta Kia Spectra yang dinaiki mereka tiba-tiba berasap pada bahagian enjin ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jalan Raja Jorak di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.02 di Jalan Parit Kemang, Hossin Munir yang memandu kereta ditemani Faruq Ahmed dalam perjalanan pulang membeli ais di sebuah kedai runcit sebelum kereta berkenaan tiba-tiba mengeluarkan asap tebal.

Melihat keadaan tersebut, kedua-dua mangsa yang berusia 30-an berhenti di bahu jalan dan keluar menyelamatkan diri sebelum kereta berkenaan terbakar.

Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar kerana gagal memadamkan kebakaran.

Ketua BBP Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jefri Jamal berkata, seramai 13 anggota berkejar ke tempat kejadian berjaya memadamkan kebakaran pada jam 9 malam.

"Kebakaran tidak melibatkan mangsa manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Kereta berkenaan milik Latifah Mad Zin iaitu isteri kepada Faruq.

"Faruq merupakan penduduk tetap (PR) dan kedua-dua sahabat itu berasal dari Bangladesh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: