Penuntut diserang tiga lelaki dalam asrama

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penuntut di sebuah institut latihan berdepan detik menakutkan apabila diserang tiga lelaki tidak dikenali di Gong Badak, Kuala Nerus, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, remaja lelaki berusia 18 tahun itu bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan tersebut, malah wang belanjanya sebanyak RM21 turut dilarikan suspek.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa tinggal berseorangan di dalam bilik asrama di institut berkenaan sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali.

“Dua daripada mereka masuk ke dalam bilik mangsa manakala seorang lagi tunggu di hadapan pintu. Salah seorang suspek meminta duit daripada mangsa sebelum remaja lelaki terbabit memaklumkan tidak mempunyai wang.

“Suspek yang tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa bertindak menumbuk pipi dan badannya sebelum seorang daripada mereka menyeluk poket seluar mangsa yang disangkut di katil lalu mengambil wang RM21,” katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, pada masa sama, seorang lagi suspek menendang lalu mangsa terjatuh dan kejadian itu mengakibatkan remaja terbabit cedera bengkak di pipi kanan dan sakit pada bahu kanan.

“Dua penuntut yang kebetulan lalu di hadapan bilik mangsa turut dipukul namun mereka berjaya melarikan diri sebelum ketiga-tiga suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian tidak lama kemudian

“Mangsa yang tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian membuat laporan di Balai Polis Gong Badak pada keesokan harinya (Rabu) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.