Krisis Kelantan 1978 sejarah terburuk dihadapi Pas

Mustafa Ali. - Foto SHUKRI MOHAMAD
Mustafa Ali. - Foto SHUKRI MOHAMAD
A
A
A

GOMBAK - Pas membuktikan di sebalik krisis dihadapi sebelum ini, parti tersebut masih terus hidup malah terus berkembang sehingga kini.

Mengimbau kembali krisis pernah dihadapi parti tersebut, veteran Pas, Datuk Mustafa Ali menganggap insiden di Kelantan pada 1978 adalah krisis terburuk pernah dihadapi parti.

“Krisis dalam Pas, orang pernah tanya saya, manakah satu-satunya krisis paling besar dilalui Pas dalam sejarah Pas. Adakah penubuhan Amanah krisis paling besar? Tidak pada saya.

“Krisis paling besar pada saya ialah krisis di Kelantan pada tahun 1978. Kita hilang terus Kelantan pada waktu itu,” katanya ketika menjadi panelis dalam Forum Seminar Sejarah Pas, di Taman Melewar, di sini, petang tadi.

Menurutnya, impak daripada krisis penubuhan Amanah tidaklah begitu besar jika dibandingkan krisis yang berlaku di Kelantan lebih 40 tahun lepas itu.

Begitupun, bekas Setiausaha Agung Pas itu menganggap konflik adalah perkara biasa dalam parti politik.

“Krisis ini perkara lazim, tiada ‘zero conflict’ dalam politik. Jadi, kita mestilah sedia hadapi suasana seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mustafa memaklumkan Pas memainkan peranan penting terutamanya dalam menyebarkan syiar Islam dalam Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, stesen televisyen di Malaysia dulu tidak menayangkan video azan namun selepas Pas mencadangkannya, sehingga kini azan berkumandang di kaca televisyen.

“Kemudian, dulu iklan judi ada dalam televisyen. Pas bertemu dengan menteri berkenaan, cadangkan perkara itu ditiadakan dan ia ditiadakan.

“Dari sudut pendidikan, kita usul adanya Maktab Perguruan Islam. Tak lama selepas itu, ia ditubuhkan,” katanya.