Teruskan berjuang Harimau Malaya!

No Image Caption
A
A
A

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Ibrahim Saad mahu skuad Harimau Malaya meneruskan perjuangan beraksi pada kempen Piala AFF 2020.

Ibrahim menegaskan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu harus mempamerkan sikap profesional dan tidak mengikut jejak langkah beberapa negara lain yang tidak berhajat menyertai kejohanan peringkat Asia Tenggara itu disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut Ibrahim yang dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM mulai 2005 hingga 2007, pasukan kebangsaan harus komited mengikuti jadual ditetapkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) biarpun Piala AFF 2020 tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Mereka (skuad Harimau Malaya) harus terus bermain (pada Piala AFF 2020), tidak ada sebab mengapa mereka perlu tarik diri hanya semata-mata ada negara lain bertindak sedemikian.

“Ini kerana kita harus mengekalkan semangat profesionalisme dan saya yakin FAM akan memberikan ‘lampu hijau’ kepada pasukan kebangsaan untuk turun bermain pada kempen Piala AFF 2020.

“Saya percaya jaminan keselamatan ada daripada pihak penganjur jika kejohanan itu diteruskan kecuali AFF sendiri membatalkannya, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa.

“Apa yang paling mustahak adalah kesinambungan pasukan kebangsaan kita. Jadi kita perlu fokus kepada pasukan sendiri daripada memikirkan pasukan negara lain,” katanya.

Terdahulu, Thailand dan Filipina dilaporkan sedang mempertimbangkan keputusan masing-masing untuk menarik diri daripada Piala AFF 2020 disebabkan Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Thailand memberikan bayangan tersebut gara-gara mahu memberikan tumpuan kepada saingan liga domestik dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditunda sebelum ini akibat daripada wabak Covid-19.

Filipina pula mungkin menarik diri daripada menyertai saingan Piala AFF 2020 kerana kempen liga domestik di negara itu terpaksa ditangguhkan sehingga Disember depan.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim yang pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuji FAM yang masih memiliki niat untuk terus beraksi pada kempen Piala AFF kali ini.

“Seperti saya katakan tadi, Harimau Malaya tidak perlu bermain jika AFF membatalkan kejohanan itu tetapi dalam masa yang sama, saya mahu memuji FAM yang sentiasa menunjukkan satu semangat yang positif.

“Saya berharap tindakan FAM ini akan menjadi contoh kepada persatuan lain khususnya persatuan bola sepak dalam negara kita sendiri kerana sikap profesionalisme itu sangat penting dalam sukan bola sepak,” ujarnya.