Sidang kemuncak kedua AS-Korea Utara akhir Februari

Jong-un dan Trump bertemu dalam sidang kemuncak pertama di Singapura pada tahun lalu.
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) akan bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada bulan depan untuk kali kedua selepas sidang kemuncak pertama di Singapura pada tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas Timbalan Pengerusi Pyongyang, Kim Yong Chol membuat lawatan ke Washington dan bertemu jutawan hartanah itu serta pegawai tertinggi lain.

"Pertemuan itu berlangsung selama sejam setengah untuk membincangkan langkah nyahnuklear dan sidang kemuncak kedua yang dijadualkan pada akhir Februari. Presiden berharap dapat bertemu Jong-un di lokasi yang akan diumumkan kemudian," kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders.

Sementara itu, sumber kerajaan di Vietnam memberitahu, persediaan logistik telah dibuat untuk menganjurkan sidang kemuncak tersebut di Hanoi atau bandar pesisir pantai Danang.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc berkata, Hanoi berbesar hati untuk menerima kedua-dua pemimpin tersebut.

"Kami masih belum mengetahui keputusan akhir. Jika ia berlangsung di sini, kami akan melakukan yang terbaik untuk menganjurkan sidang kemuncak itu," ujarnya. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia