Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur masih peringkat cadangan

AHMAD NAZLAN
AHMAD NAZLAN
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan membina Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur masih dalam peringkat perancangan dan projek berkenaan belum dipertimbangkan atau diluluskan Lembaga Pengarah, Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, projek ini akan diangkat untuk kelulusan setelah kajian fisibiliti secara menyeluruh dilakukan serta impak terhadap fasiliti-fasiliti penyelidikan lain dibawah LGM sebelum dibentangkan ke pihak lembaga pengarah.

“Hanya selepas mendapat kelulusan lembaga, barulah projek ini akan dibawa untuk kelulusan MPIC dan kerajaan.

“Usaha penyelidikan di peringkat LGM tidak pernah terputus dan agensi ini sentiasa mengutamakan sektor-sektor penting iaitu huluan (perladangan getah), pertengahan (pemprosesan getah) dan hiliran (pembuatan produk getah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AHMAD NAZLAN
AHMAD NAZLAN

Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengatakan projek raksasa bernilai RM100 juta diluluskan di kawasan Parlimen Jerantut dalam masa singkat.

Dalam kenyataan tersebut, bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok juga mempersoalkan projek berkenaan diumumkan dengan tergesa-gesa oleh Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Ahmad Nazlan berkata, proses kelulusan pembangunan tanah berfungsi sebagai pusat penyelidikan perlu melalui prosidur lengkap yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Setelah kertas kajian fisibiliti komprehensif dan kertas cadangan dibentangkan pengurusan LGM dan diperakui lembaga pengarah LGM, ia seterusnya perlu mendapat kelulusan menteri dan Kabinet sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Ahmad Nazlan berkata, keperluan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dan komprehensif di pusat penyelidikan LGM bagi teknologi-teknologi utama seperti pembangunan klon-klon terkini sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya pembekalan bahan mentah yang diperolehi di peringkat pertengahan dan hiliran dalam kualiti yang terbaik.

“Ia juga secara tidak langsung dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model komersil perbadanan LGM disamping membantu usaha penyelidikan klon dan teknologi untuk industri getah negara.

“Objektif utama pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan-kawasan berlainan di serata Malaysia termasuk di pantai timur bertujuan untuk memastikan masa hadapan industri getah negara lebih maju, dengan pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi kemampanan industri getah Malaysia,” katanya lagi.