Tiga lelaki ditahan samun dua beradik

Soffian Santong
Soffian Santong
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki ditahan untuk membantu siasatan kes samun dua beradik membabitkan kerugian RM10,000 di Jalan Brown di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga suspek berusia 23, 24 dan 48 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar bandar ini.

Menurutnya, mereka ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kes dilaporkan oleh bapa mangsa.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, serbuan telah dijalankan pada jam 11 malam semalam hingga 4 pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Timur Laut di dua lokasi yang berasingan. Kita berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

"Pemeriksaan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah. Mereka direman lima hari sehingga 30 Mei ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Soffian berkata, dalam kejadian pada jam 6.20 petang semalam, dua beradik berusia 27 dan 26 tahun cedera disamun tiga lelaki di Jalan Brown di sini.

Menurutnya, mangsa pertama mengalami luka di kepala dan dikelar di kedua-dua belah tangan manakala adiknya mengalami luka di kepala.

"Kedua-dua mangsa tidak tahu punca mereka diserang kerana tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak. Mangsa juga tidak mengenali ketiga-tiga suspek namun sempat mengecam wajah mereka.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mendakwa salah seorang suspek menggunakan sebilah parang panjang semasa kejadian. Suspek berjaya melarikan wang tunai RM5,000 dan rantai emas milik mangsa. Jumlah keseluruhan kerugian adalah RM10,000," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.