Kedai nasi kerabu ‘sohor’ terbakar

Nor Azma (kanan) melihat keadaan kedainya yang terbakar.
Nor Azma (kanan) melihat keadaan kedainya yang terbakar.
A
A
A

TUMPAT - Sebuah kedai makan yang menjual nasi kerabu tersohor di Kelantan antara empat premis lot kedai yang hangus dalam kebakaran di Pasir Pekan di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.40 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Pemilik kedai nasi kerabu tersebut, Nor Azma Ab Kadir, 53, berkata, beliau sepatutnya mula berniaga pada hari ini selepas cuti selamat empat hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula Jumaat lalu.

“Hari terakhir berniaga pada Khamis lalu dan hari ini saya berhajat untuk membuka kedai dengan menjual secara bungkus tetapi bekalan ayam dan ikan pula belum tersedia, jadi mungkin akan berniaga esok.

“Bila sudah berlaku kebakaran sebegini, maka tidak dapat berniagalah kerana barangan habis terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, beliau mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada pemilik bengkel kereta yang terletak bersebelahan kedainya.

Anggota bomba memadam kebakaran di kedai nasi kerabu ‘sohor’ di Pasir Pekan hari ini.
Anggota bomba memadam kebakaran di kedai nasi kerabu ‘sohor’ di Pasir Pekan hari ini.

"Selepas itu, saya dan seorang anak kemudian bergegas dari rumah yang terletak di Kampung Bukit, Wakaf Bharu ke kedai kami untuk melihat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Apabila sampai, saya sempat melihat api marak membakar deretan kedai termasuk dua lot kedai nasi kerabu milik saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel kereta berkenaan, Wee Chong Kiu, 53, berkata, ketika kejadian beliau berada di bengkelnya yang mula beroperasi pada hari ini.

"Ketika kejadian, saya sedang membaiki kereta pelanggan dan terhidu bau hangit sebelum melihat kepulan asap yang keluar dari atap deretan kedai di belah kanan kedai saya termasuk kedai nasi kerabu.

“Saya terus mengalihkan empat kereta pelanggan yang sedang dibaiki dan menelefon pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi berkata, kebakaran membabitkan empat premis lot kedai iaitu dua daripadanya mengalami kemusnahan 80 peratus manakala dua lagi 20 peratus.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 petang dan jentera pertama dari BBP Wakaf Bharu tiba pada jam 3.53 petang.

“Seramai 35 anggota dan pegawai dari BBP Wakaf Bharu, Tumpat, Kota Darul Naim, Tunjong terbabit dalam operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.16 petang," katanya.

Katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan.