152 rumah diperiksa pada hari raya kedua di Kelantan

Patuhi penjarakkan sosial dan letakkan tangan di dada sebagai tanda salam serta amalkannya sebagai norma yang baharu dalam kehidupan.
Patuhi penjarakkan sosial dan letakkan tangan di dada sebagai tanda salam serta amalkannya sebagai norma yang baharu dalam kehidupan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 152 rumah lagi diperiksa pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negeri ini semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, jumlah itu membabitkan bilangan penghuni asal seramai 729 orang dan rentas negeri pula tiga orang.

“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, tiada kompaun atau tangkapan dibuat terhadap penghuni.

“Kesemua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sambutan Aidilfitri kedua dan ketiga di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga ingin mengingatkan kepada masyarakat untuk kekal di rumah masing-masing bermula semalam dan jamuan makan walaupun secara kecil-kecilan adalah tidak dibenarkan.

“Tuan rumah yang menjemput kenalan untuk makan di rumah mereka walaupun secara kecil-kecilan adalah satu kesalahan.

“Tidak ada sebarang majlis, jamuan mahupun kunjung-mengunjung dibenarkan bermula Syawal kedua dan seterusnya biarpun rentas daerah masih dibenarkan dan dalam rumah juga tidak boleh melebihi 20 orang sahaja pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama 390 buah kenderaan di kediaman diperiksa pasukan pemantau yang bergerak dari rumah ke rumah dan 6,511 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kenderaan yang merentas daerah, sebanyak 79 kenderaan yang diperiksa di kediaman dan 5,043 di sekatan jalan raya manakala rentas negeri pula membabitkan tiga kenderaan di kediaman dan 1,468 buah kenderaan ketika sekatan jalan raya.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB, sebanyak 10 sekatan jalan raya dilaksanakan negeri ini membabitkan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa,” katanya.

Tambah Abdullah, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehinggalah PKPB yang dikuatkuasakan pada 4 Mei lalu sehingga semalam, sebanyak 926 tangkapan dibuat membabitkan individu yang melanggar PKP yang kebanyakannya berusia antara 19 hingga 30 tahun.

“Kesemua mereka yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama.

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 137 kompaun dikeluarkan dan kes disiasat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan kerana merentas negeri tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai penjaga daerah atau pegawai penjaga balai,” katanya.