Sanusi bersedia terajui KFA

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia menyahut cabaran menerajui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sekiranya namanya dicalonkan sebagai Presiden KFA.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang dicalonkan menerajui KFA kelak harus mampu membawa masuk penajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan itu.

Menurutnya, faktor kewangan antara aspek penting dalam mengukuhkan pentadbiran dan kedudukan pasukan 'Hijau Kuning' atau lebih dikenali dengan Lang Merah susulan kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan.

“Saya berharap tokoh yang bakal dicalonkan dan menerima jawatan sebagai presiden boleh membawa masuk penajaan untuk persatuan bagi mengukuhkan pengurusan pasukan. Individu berkenaan perlu berkeupayaan menarik penaja untuk pasukan dan KFA,” katanya pada sesi temubual di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi yang turut meminati pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak mengakui KFA memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan berharap syarikat berminat tampil mengemukakan kertas cadangan.

“Ini bukan sekadar jawatan, yang penting keupayaan bagi mengukuhkan kewangan persatuan. Kalau ada mencalonkan saya sebagai presiden, saya sahut cabaran itu. Insya-ALLAH saya akan terima, kalau tak ada pun tak mengapa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti semula kontrak-kontrak yang ditandatangani sebelum ini dan sekiranya ada yang membebankan dan tidak mampu diteruskan, kemungkinan akan dikaji semula.

"Saya pun sama dengan seluruh rakyat Kedah, saya mahu Kedah terus maju dalam semua bidang sukan. Kita akan kekalkan momentum 'Kedah Serata-Rata' yang kita laungkan selama ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang melepaskan jawatan termasuk sebagai Presiden KFA, pada 17 Mei lalu.

Berdasarkan perlembagaan dan statut KFA, Menteri Besar tidak disyaratkan secara automatik dilantik sebagai Presiden KFA. Mana-mana individu layak dicalonkan dan diundi oleh 36 badan gabungan KFA untuk melayakkan individu itu dilantik ke jawatan itu.

Mengulas lanjut, katanya, sukan untuk anak muda akan diperluaskan dengan membuka lebih banyak peluang di daerah untuk mencungkil bakat baharu sukan.

“Kita akan jadikan Kedah satu kuasa baharu dalam arena sukan,” katanya.