Pengunjung Bukit Bendera dijangka meningkat tahun ini

Kon Yeow (tengah), Guan Eng dan Lay Leng (kanan) merasmikan Stesen Bawah Bukit Bendera Pulau Pinang (Fasa 3).
Kon Yeow (tengah), Guan Eng dan Lay Leng (kanan) merasmikan Stesen Bawah Bukit Bendera Pulau Pinang (Fasa 3).
A
A
A

GEORGETOWN - Bukit Bendera dijangka akan mengalami pertambahan pengunjung sepanjang tahun ini berikutan beberapa pertambahan fasiliti antaranya Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa 3) yang dibuka hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah 244,000 pengunjung yang dicatatkan pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, sehingga semalam, pengunjung bagi tempat rekreasi itu dilihat meningkat sebanyak 10 peratus dan dijangka akan terus meningkat dari masa ke masa.

"Pada tahun lalu, Bukit Bendera mencatatkan lebih daripada 1.742 juta pengunjung iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan setakat hari ini berbanding tahun-tahun lalu. Pencapaian ini disebabkan oleh peningkatan infrastruktur, kemudahan dan tarikan baru.

"Antaranya The Habitat, aktiviti di puncak bukit seperti 'Nature Walk' secara percuma serta peningkatan perkhidmatan lain yang menyebabkan populariti serta reputasi Bukit Bendera semakin meningkat," katanya kepada media hari ini.

Kon Yeow (dua dari kanan), Lay Leng mengiringi Guan Eng melawat Stesen Bawah Bukit Bendera Pulau Pinang (Fasa 3).
Kon Yeow (dua dari kanan), Lay Leng mengiringi Guan Eng melawat Stesen Bawah Bukit Bendera Pulau Pinang (Fasa 3).

Terdahulu, Kon Yeow merasmikan Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa 3) yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengurus Besar PBBPP, Cheok Lay Leng.

Sementara itu Lay Leng berkata, majlis pecah tanah bagi projek yang bernilai RM7.8 juta dijalankan pada 10 Mac 2017.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, projek itu disiapkan melebihi tempoh jangkaan kerana beberapa cabaran dan kerja tambahan di kawasan tapak pembinaan.

"Anggaran awal adalah 20 bulan. Namun dengan komitmen dan kerja keras yang telah ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya kontraktor, pihak perunding, artis dan rakan kongsi, maka stesen bawah fasa tiga ini dapat disiapkan.

"Pembukaan stesen ini memberi lebih banyak kemudahan dan penambahbaikan fasiliti seperti kedai cenderamata dan serbaneka (Penang Hilk Merchandise), kedai makanan dan minuman (Oldtown White Coffee dan A&W), kedai dan kafe (The Habitat Penang Hill) selain kemudahan asas lain," katanya.

Tambahnya, keluasan sekitar kawasan tersebut sebelum kerja-kerja menaiktaraf adalah 2,522 meter persegi tetapi kini berkeluasan 4,074 meter persegi selepas dinaiktaraf.