X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki mabuk jerit, hentak kereta polis ditahan

Aidi Sham Mohamed
Aidi Sham Mohamed
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan dua lelaki yang menjerit-jerit dalam sebuah kereta dipercayai mabuk di Kilometer 10, Jalan Pantai, Port Dickson malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, polis telah mengekori Proton Persona dinaiki suspek sehingga ke bulatan Bandar Sunggala.

"Polis telah mengarahkan suspek berhenti, namun tidak diendahkan malah menghimpit pula kenderaan anggota bertugas.

"Selepas kira-kira dua kilometer, suspek berusia 34 dan 35 tahun akhirnya berjaya ditahan di Jalan Taman Bandar Sunggala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, suspek cuba membuat provokasi dengan menjerit sambil menghentak bumbung kereta polis selain enggan memberikan butiran pengenalan diri walaupun beberapa kali diminta.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian ditahan kerana enggan memberi kerjasama dan mempertikaikan tugasan polis.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mabuk dan mereka adalah adik-beradik.

"Mereka yang mempunyai beberapa rekod kes dadah dan jenayah lampau dari arah Seremban menghala ke rumah di Bandar Sunggala," katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Menghalang Penjawat Awam Menjalankan Tugas) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Selain itu, katanya, polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

"Tiada pergerakan rentas negeri melainkan kebenaran dari polis atas hal kecemasan seperti kematian dan polis mengingatkan kepada semua pihak agar menghormati serta memberi kerjasama kepada pegawai dan anggota bertugas.

"IPD Port Dickson akan terus membuat pemantauan agar masyarakat mengikuti SOP yang digariskan dalam tempoh PKPB ini," katanya.

Katanya, untuk sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid IPD Port Dickson di talian 06-6472222 sambungan 217.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus