X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu model ekonomi baharu

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan satu model ekonomi baharu berlandaskan normal baharu untuk mengatasi masalah kelembapan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, model ekonomi yang diguna pakai ketika ini perlu diubah kerana sektor perniagaan seperti usahawan mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) tidak lagi berdaya maju.

Menurutnya, kelembapan ekonomi tidak boleh diatasi dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan satu usaha yang berterusan.

“Misalnya kemelesetan ekonomi suatu ketika dahulu yang memakan satu dekad untuk pulih sepenuhnya. Tetapi sekarang ini, kita memerlukan suatu pemulihan ekonomi yang sangat berbeza.

“Bila menghadapi kemelesetan ekonomi maknanya struktur ekonomi itu sendiri perlu berubah iaitu berasaskan kepada model ekonomi baharu dan normal baharu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut beliau, negara memerlukan strategi perniagaan dengan kembali kepada prinsip ekonomi iaitu mengikut faktor pasaran.

Katanya, faktor pasaran memainkan peranan penting dalam ekonomi negara berikutan lebih 80 peratus isi rumah bergantung kepada sektor pekerjaan.

“Sektor itu perlu dirombak dengan mengubah penawaran buruh. Lebih 60 peratus pekerjaan tidak lagi relevan dalam model ekonomi lama,” katanya.

Beliau berkata, bank konvensional juga perlu dirombak kepada institusi kewangan baharu sebagai bank maya yang menawarkan kaedah pembiayaan tidak formal.

Katanya, sektor perniagaan tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk memulakan langkah tersebut.

“Ekonomi negara bergerak sangat perlahan, namun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar sembilan peratus pada tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pemberian moratorium selama enam bulan menunjukkan petanda negara akan berdepan krisis ekonomi.

Beliau berkata, krisis ekonomi berlaku secara global dan bukan hanya membabitkan Malaysia sahaja.

“Memang benar apa yang dinyatakan Jabatan Perangkaan Malaysia. Ekonomi negara dijangka mengalami kelembapan ketara ekoran penurunan dalam Indeks Pelopor (IP) untuk empat hingga enam bulan ke hadapan.

“Paling penting sekarang ini ada tiga perkara. Kena pastikan kadar pengangguran kekal terkawal. Kalau itu tidak dikawal, kitaran wang akan bermasalah (permintaan rendah).

“Bila kitaran wang bermasalah, penawaran akan bermasalah. Paling terkesan sudah tentulah para peniaga,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menggerakkan projek pembangunan berskala besar untuk mencapai beberapa tujuan sekali gus.

Katanya, usaha tersebut dilakukan dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui tenaga kerja tempatan bagi menjana pendapatan negara pada masa hadapan dan meningkatkan produktiviti rakyat dalam jangka masa panjang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!