X

Kindly register in order to view this article
!

Aidilfitri suram di perantauan

Ahli Kelab Bunga Raya United Kingdom (UK) bersyukur masih dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang baik untuk meneruskan pengajian.
A
A

SUASANA Hari Raya Aidilfitri lebih 15,000 pelajar Malaysia yang kini berada di perantauan pastinya jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Segala-galanya berubah, malah mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan yang pasti tiada kunjung-mengunjung dalam jumlah yang ramai.

Sambutan Syawal pada tahun ini juga terpaksa disambut ala kadar bagi menjaga keselamatan mereka.

Setiausaha Agung Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, Alia Mokhtar, 30, mengakui sambutan perayaan umat Islam itu kini jauh lebih suram, tidak lagi meriah seperti dahulu, malah penuh keresahan dek ancaman wabak itu.

Katanya, kebanyakan negara pada saat ini sedang melaksanakan arahan perintah berkurung atau darurat, sekaligus menyebabkan semua individu terpaksa mengehadkan pergerakan keluar dari rumah.

“Seperti di United Kingdom sendiri, statistik rasmi menunjukkan virus Covid-19 telah meragut lebih 36,000 nyawa dan menjangkiti lebih 260,000 orang.

“Sudah pasti tiada lagi program rumah terbuka atau acara ziarah-menziarahi antara komuniti rakyat Malaysia di luar negara pada Aidilfitri tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, pelajar ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Pendidikan Teknologi dari University of Bristol itu turut memberitahu, majoriti pelajar yang berada di negara-negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tinggi juga tidak dapat melaksanakan ibadat di masjid pada bulan Ramadan sebagaimana kebiasaan sebelum ini.

“Hampir semua negara masih tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat beroperasi pada saat ini. Kebanyakan pelajar beragama Islam terpaksa menunaikan solat tarawih serta aktiviti berbuka puasa di rumah sewa atau asrama masing-masing,” katanya.

Sepanjang pandemik Covid-19, Alia berkata, terdapat beberapa inisiatif diambil oleh Kelab Bunga Raya di seluruh dunia termasuk negara residensi di mana terdapat perwakilan kelab itu.

Contohnya kata Alia, Kelab Bunga Raya Indonesia telah berhubung dan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam menzahirkan kegusaran pelajar Malaysia di republik itu mengenai penularan pandemik Covid-19.

“Mereka juga berusaha mendapatkan kelulusan universiti untuk membenarkan pelajar pulang ke tanah air dan membantu memastikan keselamatan pelajar terjamin sepanjang berada di Indonesia.

“Kelab Bunga Raya New Zealand pula misalnya, telah berkongsi data melalui tinjauan khas bagi mengenal pasti keberadaan dan keadaan pelajar, terutamanya pelajar persendirian tanpa tajaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara itu,” katanya.

Permohonan

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Bunga Raya United Kingdom, Aiman Amierul Jaafar, 23, berkata, dianggarkan seramai 1,500 pelajar mengemukakan permohonan pulang ke tanah air sebelum ini tetapi terkandas kerana situasi perintah berkurung di United Kingdom.

Menurutnya, semua pelajar kini berada dalam keadaan terkawal dan selamat dengan kebanyakannya sedang mengulang kaji pelajaran di rumah untuk peperiksaan tahunan yang akan datang atau sedang berlangsung melalui dalam talian.

“Kebanyakan pelajar kita di UK sangat mementingkan keselamatan dan mengelakkan daripada terdedah dengan Covid-19.

“Justeru, mereka mengambil keputusan untuk tidak pulang ke tanah air. Susulan itu, pelajar menjalani kuarantin dalam rumah dan bilik masing-masing sepanjang perayaan ini, namun mereka masih berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga melalui panggilan telefon dan media sosial,” katanya.

Ahli Kelab Bunga Raya New Zealand yang merupakan pelajar kita di negara itu mengongsikan gambar kenangan menyambut perayaan Aidilfitri di perantauan pada tahun lepas.
Ahli Kelab Bunga Raya New Zealand yang merupakan pelajar kita di negara itu mengongsikan gambar kenangan menyambut perayaan Aidilfitri di perantauan pada tahun lepas.

Pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di University of Manchester itu berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pastinya luar biasa dan bakal dikenang sepanjang hayat pelajar-pelajar yang berada di UK.

Sebelum ini katanya, pelajar-pelajar Malaysia akan bergotong-royong mengadakan rumah terbuka namun amalan itu tidak dapat dilakukan tahun ini demi membendung penularan Covid-19.

“Kami akan menyambut Aidilfitri seperti biasa, secara sederhana dan tentunya akan merasai perbezaan dan kekurangan dalam menyambut lebaran kali ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Bunga Raya Jepun, Nurul Ashikin Mabahwi, 31, berkata, seramai 3,097 pelajar Malaysia berada di negara itu tidak dapat pulang ke tanah air sepanjang tempoh Covid-19 kerana semester pengajian telah bermula ketika itu.

Memandangkan Jepun telah diisytihar berada dalam State of Emergency (Darurat), Nurul Ashikin berkata, semua pelajar bersahur dan berbuka di rumah masing-masing dan dapat tidak berkumpul seperti tahun-tahun sebelumnya sepanjang bulan Ramadan yang lepas.

“Kerinduan paling nyata sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini ialah berkumpul bersama komuniti Malaysia di Jepun. Ini kerana pada kebiasaannya, pada hari raya pertama, semua orang akan berkumpul meraikan Aidilfitri bersama-sama,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus