Tongkat baca khutbah hari raya pun dijadikan bahan lawak

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak - Foto Bernama
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak - Foto Bernama
A
A
A

MERAK JALANAN tak faham betul dengan perangai rakyat Malaysia sekarang. Ada saja yang hendak dikongsikan di media sosial walaupun adakalanya mengarut dan tak kena gaya, semata-mata untuk mendapatkan perhatian netizen.

Pada 1 Syawal yang lepas, solat Aidilfitri berjemaah tidak dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Oleh yang demikian, ramai yang menunaikan solat Aidilfitri di rumah. Malah peluang bagi ketua keluarga untuk menjadi imam dan menyampaikan khutbah kepada ahli keluarga.Namun Merak Jalanan sedih bila ada yang menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan lawak, sebagaimana yang tular di media sosial.

Ada yang memegang pedang cahaya atau lightsaber, kayu golf, tukul ‘Thor’, kayu mop, pedang ‘gergasi’ mainan, batang pancing, tripod dan sebagainya ketika membaca khutbah tersebut.

Ada pula yang menggunakan pedang samurai, menjadikan mesin senaman atau treadmill sebagai mimbar.

Sebenarnya tidak ada masalah pun kalau nak baca khutbah kalau tak pegang tongkat atau mimbar kerana hukumnya adalah sunat.

Merak Jalanan bimbang jika perbuatan tersebut disalah anggap oleh orang bukan Islam sebagai mempermain-mainkan ajaran Islam ketika beribadat walaupun mungkin niatnya betul.

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kalau nak pegang tongkat sekalipun, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak!

Artikel Berkaitan:

Justeru, pada solat sunat Aidiladha akan datang, sekiranya PKPB masih dilaksanakan, carilah tongkat yang elok supaya tidak dianggap mempermain-mainkan agama.