X

Kindly register in order to view this article
!

48 orang keracunan makanan akibat puding buih

Dr Nor Azimi Yunus
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 48 pesakit disahkan mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu seramai 20 orang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan salah seorang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Pesakit itu dalam keadaan stabil, empat pesakit lagi dimasukkan ke hospital swasta manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. Majoriti pesakit mengalami sakit perut dan cirit birit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Nor Azimi, pihaknya menerima notifikasi episod keracunan makanan pada 24 Mei melibatkan sejarah memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei.

Sehubungan itu beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian wabak keracunan makanan ini dan pesakit lain yang mungkin terdedah.

“Tatacara keselamatan makanan terutamanya tahap kebersihan yang tinggi perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam.

“Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat jam selepas penyediaannya dan sekiranya perlu disimpan, ia hendaklah di dalam suhu sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Orang ramai juga perlu sentiasa peka tentang keselamatan makanan dengan mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan angkara puding buih, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa beraya di hospital dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan pencuci mulut itu ketika berbuka puasa Ramadan terakhir kelmarin.

Puteri Nor Farisha Damia Mohd Faizul, 11, mula sakit perut dan muntah kira-kira jam 5 pagi semalam hingga keadaannya lesu manakala lima sepupunya berusia 6 hingga 20 tahun yang turut menjamah puding buih juga mengalami keadaan sama.

Bapanya, Mohd Faizul Hamzah, 35, dari Rusila, Marang berkata, anak saudaranya membawa pulang dua bekas puding buih yang dibeli oleh kawannya untuk berbuka puasa kelmarin dan enam sepupu itu berkongsi menikmatinya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus