PKPB: Jumlah penumpang ikut jenis kenderaan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan jumlah maksimum penumpang dibenarkan menaiki kenderaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah mengikut kapasiti jenis sesuatu kenderaan.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pihaknya tidak pasti sama ada akta berkaitan perkara itu sudah dipinda atau diwartakan pada ketika ini.

Menurutnya, setakat ini berdasarkan Akta 342, kebenaran jumlah penumpang dibenarkan menaiki kenderaan adalah tidak lebih empat orang.

"Kita sudah bincang dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri sebelum dan bersetuju menetapkan jumlah penumpang dibenarkan menaiki kenderaan adalah berdasarkan kapasiti jenis kenderaan itu.

"Sekiranya kenderaan dinaiki jenis kereta biasa, jumlah penumpang tidak lebih empat orang, tetapi kalau kenderaan jenis pelbagai guna (MPV), kerajaan benarkan jumlah maksimum penumpang sehingga enam orang," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam hal membabitkan jumlah maksimum penumpang dibenarkan dalam sesebuah kenderaan, beliau percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan budi bicara adil kepada semua pihak.

Menurutnya, meskipun peruntukan akta sudah jelas, kuasa budi bicara PDRM memainkan peranan sangat penting bagi mengelakkan rakyat berasa tertekan.

"Sebagai contoh, dalam sebuah kereta, jumlah maksimum penumpang dibenarkan hanya empat orang.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi jika kereta itu dinaiki sebuah keluarga di mana si ibu terpaksa memangku seorang bayi, jumlah sudah jadi lima orang.

"Dalam hal sebegini, saya percaya polis akan menggunakan budi bicara adil kepada semua pihak," katanya.