Belum terlewat selamatkan bola sepak Kelantan

Ahmad Muzakkir
Ahmad Muzakkir
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus merayu keprihatinan rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang itu khasnya penyokong setia The Red Warriors (TRW) dalam membantu melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya dari Brazil, Cassio Francisco De Jesus.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, pihaknya akan meneruskan kutipan Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan biarpun tempoh 30 hari ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjelaskan tuntutan pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berakhir semalam.

Katanya, pihaknya percaya badan induk bola sepak Kelantan itu mampu menyelesaikan kemelut berkenaan dengan syarat mendapat sokongan dan sumbangan kewangan padu dalam kalangan rakyat Kelantan yang prihatin dan dermawan.

"Sebenarnya KAFA yakin rakyat Kelantan sayangkan sejarah kegemilangan TRW masih berpeluang untuk menyelamatkan masa depan bola sepak negeri ini tambahan pula perkara ini masih dalam perhatian Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas KAFA menghantar permohonan baru-baru ini.

"Pada masa sama KAFA juga masih cuba berusaha berunding lagi dengan pihak Cassio berkenaan tuntutan tunggakan gaji berjumlah RM629,620.28.

"Jadi di kesempatan Syawal yang mulia ini KAFA berharap rakyat Kelantan dan anak Kelantan yang berkemampuan sudi untuk terus menderma membantu meringankan beban KAFA.

"Sebenarnya jika lebih ramai rakyat Kelantan yang prihatin dan dermawan menyertai kutipan ini ia akan pasti berjaya, bayangkan jika penderma menderma RM10 seorang, jika ia boleh cecah sampai ratusan ribu penderma maka kutipan tabung ini pasti berjaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Muzakkir meminta segelintir pihak tidak menuding jari menyalahkan kepimpinan KAFA musim ini susulan kemelut yang membelenggu persatuan itu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua tuntutan itu berlaku sebelum kepimpinan baharu mengambil alih teraju persatuan berkenaan pertengahan tahun lalu.

"Sejak kita ambil alih pengurusan pada Jun tahun lalu sehingga kini selama 11 bulan, banyak perkara yang kita usaha dan lakukan termasuk bayar segala hutang yang membolehkan kita mendapat lesen dan tidak dikenakan potongan mata sehingga kita boleh bersaing pada saingan Liga Premier.

"Tidak perlu menyalahkan sesiapa lebih lagi dalam hal ini, apa yang kami lakukan ini kerana masa terhad dan pergerakan terbatas serta sumber kewangan yang tidak dapat dijanakan kerana semuanya terkesan akibat pandemik Covid-19, yang sekali gus menyebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak 16 Mac lalu," katanya.

Kepada mereka yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 5530 1063 0676.