LOU elak rakyat terkejut caj 50 peratus kuarantin hotel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan mewajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang dari luar negara menandatangani Surat Aku Janji dan Indemniti (Letter of Undertaking) bermula 1 Jun ini adalah bertujuan memastikan pusat kuarantin mencukupi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, LOU ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan caj 50 peratus kos kuarantin iaitu RM75 sehari kepada mereka yang pulang selepas 1 Jun 2020.

Menurutnya, keputusan menandatangani LOU ini juga dapat memastikan mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang ke negara ini tidak terkejut dengan caj kuarantin hotel perlu ditanggung sebaik sahaja mereka tiba di tanah air.

"Setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LOU lengkap ke e-mel Perwakilan Malaysia selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas.

"LOU ini boleh dimuat turun bermula hari ini dari laman sesawang Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Empat agensi lain juga akan memuat naik LOU tersebut dalam portal masing-masing dalam masa yang terdekat iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),"katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan, sehingga hari ini, sebanyak 270 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 271 pada hari sebelumnya, yang mana 13,997 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Semalam seramai 299 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib.

Artikel Berkaitan:

Seramai 40,716 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

Sehingga hari ini, seramai 33,092 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.