2 lelaki Rohingya cuba rentas negeri beraya rumah rakan

Dua lelaki Rohingya (kiri dan tengah) bersama motosikal dinaiki dibawa ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut. - Foto Ihsan Facebook IPD Kemaman
Dua lelaki Rohingya (kiri dan tengah) bersama motosikal dinaiki dibawa ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut. - Foto Ihsan Facebook IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Cubaan dua lelaki Rohingya merentas negeri semata-mata untuk berhari raya ke rumah rakan tidak berhasil selepas ditahan di sekatan jalan raya di Perasing di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berkenaan berusia antara 20-an hingga 30-an itu yang menaiki motosikal ditahan kira-kira jam 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, sepasukan pegawai dan anggota menahan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki untuk pemeriksaan.

"Ketika soal siasat, mereka memberitahu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menghala ke Dungun, namun gagal menunjukkan kebenaran rentas negeri daripada polis atau mana-mana pihak berkaitan.

"Kedua-dua lelaki yang bekerja di Kuantan, Pahang memaklumkan tahu tentang larangan merentas negeri, tetapi terpaksa berbuat demikian disebabkan terlalu rindukan rakan mereka kerana sudah lama tidak berjumpa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurut Hanyan, selain itu, di sekatan jalan raya di sempadan Kemaman-Kuantan di Chendor di sini, tiga lelaki India ditahan kerana cubaan merentas negeri untuk ke Chukai di sini.

"Ketiga-tiga mereka yang menaiki sebuah kereta dari Cherating, Pahang dengan alasan hendak mencari kedai makan.

"Apabila ditahan, mereka memaklumkan kononnya yang kedai makan berhampiran semua tutup disebabkan Hari Raya, tetapi alasan itu tidak diterima sebelum anggota mengarahkan mereka berpatah balik.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, mereka enggan memberi kerjasama dengan salah seorang daripada mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota," katanya.

Kesemua yang berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).