Wanita hamil rentas negeri belum sah bebas Covid-19

Wanita hamil itu masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dakwaan mengatakan ujian saringan kali kedua negatif adalah tidak benar. gambar kecil: Dr Zaini Hussin
Wanita hamil itu masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dakwaan mengatakan ujian saringan kali kedua negatif adalah tidak benar. gambar kecil: Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menafikan wanita hamil yang positif Covid-19 di Kuala Krai disahkan negatif selepas menjalani saringan kedua.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin tidak menolak kemungkinan wujudnya kekeliruan berhubung dakwaan wanita tersebut sudah disahkan negatif ujian saringan kedua sebagaimana tular di media sosial Facebook beberapa hari lalu.

"Berkemungkinan berita yang tular itu disebabkan individu berkenaan terkeliru dengan beberapa ujian sampingan lain yang menunjukkan bacaan negatif.

"Untuk makluman, semua ujian kedua hanya diambil selepas 13 hari pesakit berkenaan menerima rawatan. Hal ini bagi memastikan sama ada dia sudah bebas atau sebaliknya daripada jangkitan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas penularan berita mendakwa wanita hamil yang sebelum ini disahkan positif wabak Covid-19 sudah disahkan negatif ujian saringan kedua.

Menurutnya, sehingga kini wanita hamil itu masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dakwaan mengatakan ujian saringan kali kedua negatif adalah tidak benar.

Katanya, bagi memastikan sama ada wanita itu masih positif atau tidak, ia hanya akan dapat diketahui dalam tempoh 13 hari bermula dari 19 Mei lalu ketika ujian swab kali pertama dilakukan ke atasnya.

Dr Zaini berkata, sekiranya selepas tempoh 13 hari didapati wanita itu masih positif Covid-19, pihaknya akan meneruskan rawatan ke atasnya sehingga dia benar-benar bebas daripada jangkitan wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ujian menggunakan teknik PCR-Antigen adalah ujian utama (Gold Standard) untuk pengesahan Covid-19 sebagaimana ujian pertama dilakukan terhadap pesakit berkenaan," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan terus memberi rawatan terbaik untuk semua pesakit Covid-19.

Katanya, pada masa sama beliau menyeru masyarakat agar memberi sokongan moral dan memberi komen yang positif kepada mereka yang terlibat.

Akhbar sebelum ini melaporkan, wanita hamil yang positif COVID-19 di Kelantan dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Pada masa sama, KKM juga mengesahkan hasil ujian saringan terhadap 23 kontak terdekat wanita mengandung yang disahkan positif Covid-19 adalah negatif, manakala tujuh lagi kontak terdekat yang lain masih menunggu keputusan ujian saringan.