Selepas 12 hari, dua mukim di Selangor kembali ke zon merah

Maklumat mengenai jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor yang dikongsikan STFC di Facebook rasminya.
Maklumat mengenai jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor yang dikongsikan STFC di Facebook rasminya.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah hampir 12 hari kesemua 56 mukim di Selangor bebas daripada zon merah, semalam dua mukim kembali dikategorikan sebagai zon merah mempunyai kes aktif koronavirus (Covid-19) masing-masing di Semenyih dan Hulu Langat.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di akaun Facebook rasminya memaklumkan Semenyih mencatat 52 kes manakala Hulu Langat mempunyai 44 kes aktif Covid-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan, sebanyak 46 kes baharu dicatat sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan kes terkumpul sebanyak 1,776 kes.

“Kes baharu meningkat lebih tinggi daripada semalam iaitu 46 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya bertambah kepada 1,776 kes di Selangor.

“Sambutlah Aidilfitri dengan penuh waspada dan patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD). Jaga kebersihan, amalkan penjarakan sosial serta pakai topeng muka,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook STFC itu.

Dalam pada itu setakat jam 12 tengah hari semalam, seramai 1,502 pesakit dilapor telah sembuh, 195 kes masih aktif dan sejumlah 22 kematian direkod akibat dijangkiti virus Covid-19 di Selangor.

Hanya sebuah daerah iaitu Kuala Langat ditakrif sebagai zon hijau, enam lagi daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Sepang, Gombak berada di zon kuning manakala Hulu Langat masih ditakrif sebagai zon merah.

“Selepas rekod 12 hari, mukim Hulu Langat dan Semenyih kembali ke zon merah semula. Dengan ini, sebanyak dua mukim zon merah dicatatkan bagi seluruh Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Jadikan sambutan Aidilfitri ini sekadar cukup mengeratkan hubungan keluarga. Tidak perlu ziarah dan bersalaman.

"Maksimumkan penggunaan teknologi, buat ziarah maya menggunakan WhatsApp Call, 'video conferencing' dengan Google Duo, Zoom dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.