Wan Kuzri tak sabar sarung jersi Harimau Muda

Wan Kuzri
Wan Kuzri
A
A
A

PEMAIN muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal semakin hampir menyertai skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan menjelang Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus skuad B-18, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengesahkan perkembangan itu menjangkakan Wan Kuzri, 18, tidak berdepan masalah dalam melengkapkan proses dokumentasi.

“Saya diberi taklimat bahawa selain daripada pemain sedia ada, kami sedang memantau secara dekat satu atau dua lagi pemain yang akan diserap dalam skuad B-18. Sensasi sedikit, Wan Kuzri iaitu adik kepada Wan Kuzain yang beraksi di Amerika Syarikat adalah dalam perancangan utama kami.

"Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan beliau masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengan beliau untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Wan Kuzri adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City.

Wan Kuzain, 22, menyertai kem latihan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) pada November tahun lepas bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, namun digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain susulan masalah dokumentasi.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin berkata, Wan Kuzri turut menyatakan minat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan selain beliau dijadual menyertai satu sesi pemantapan skuad B-18 negara di Jepun pada Mac lalu.

“Dia amat berminat untuk menyertai kami. Mengikut perancangan asal beliau akan diterbangkan dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi menyertai sesi latihan di sana, namun perancangan itu terbatal kerana pandemik Covid-19,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain Wan Kuzri, Kamarul Ariffin berkata, barisan kejurulatihan turut memantau perkembangan dua pemain masing-masing dari Sabah dan Melaka yang berpotensi tinggi untuk diserapkan dalam skuad negara.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas saingan Piala Dunia itu.