'Tidak menerima tetamu di dalam rumah'

Jarak semeter setiap seorang dipraktikkan ketika mengambil gambar dan diambil di luar rumah di ruangan lebih terbuka supaya berkedudukan jauh antara satu sama lain.
Jarak semeter setiap seorang dipraktikkan ketika mengambil gambar dan diambil di luar rumah di ruangan lebih terbuka supaya berkedudukan jauh antara satu sama lain.
A
A
A

KOTA BHARU - “Tidak menerima tetamu di dalam rumah.”

Itu yang tertulis pada sekeping kertas digantung di hadapan sebuah rumah di Taman Mesra Lemal, Pasir Mas sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Pemilik rumah terbabit, Shamsudin Daud, 65, berkata, mesej tersebut ditujukan kepada ahli keluarga bertalian jauh, rakan taulan, kenalan dan jiran tetangga yang berkemungkinan akan berkunjung ke rumahnya itu pada Syawal ini.

Katanya, tindakan itu adalah norma baharu yang dilakukan keluarga terbabit sempena menyambut hari raya pada tahun ini bagi mengekang jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

“Semua tahu penyakit ini amat berbahaya dan boleh membawa maut lebih-lebih lagi saya dan isteri (berusia 60) pula adalah kategori warga emas yang sudah berusia manakala seorang menantu pula sarat mengandung. Kami golongan berisiko tinggi.

“Covid-19 pula tidak mengenal mangsa malah ada yang tidak menunjukkan gejala seperti demam atau batuk, jadi lebih baik tidak menerima tetamu buat masa ini,” katanya hari ini.

Dia yang juga pesara polis berpangkat Sarjan itu berkata, dia juga tidak membenarkan anak keduanya yang berkhidmat sebagai pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan di Selangor pulang berhari raya di Kelantan.

“Walaupun dia mendapat kebenaran rasmi daripada pihak atasan untuk pulang, tetapi buat masa ini tidak mengapalah, dia sambut raya di sana dan kami di sini.

Artikel Berkaitan:

“Empat lagi anak-anak lain bersama menantu dan cucu seramai 13 orang semuanya tinggal di Kelantan, jadi mereka pulang sekejap hari ini serta balik semula ke rumah masing-masing petang ini,” katanya.

Shamsudin berkata, dia mengakui sukar mengikis budaya bersalaman sesama ahli keluarga namun mencubanya dengan meletakkan tangan di dada dan tunduk sebagai tanda kemaafan.

“Sebenarnya ada rasa sebak dan tidak seronok apabila tidak boleh memeluk cium ahli keluarga sendiri, namun amalan itu wajib dilakukan selain menjaga jarak semeter ketika berbual dan kerap mencuci tangan serta mandi.

“Apabila mengantungkan kertas “Tidak menerima tetamu di dalam rumah” seperti itu, tetamu pun dengan sendiri tidak datang. Ada kanak-kanak datang hendak minta duit raya pun berpatah balik,” katanya.