Tindakan dua beregu tinggalkan BAM tidak jejas penajaan

Mohamad Norza Zakaria. - Foto Bernama
Mohamad Norza Zakaria. - Foto Bernama
A
A
A

TINDAKAN dua beregu negara keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menjejaskan pihak penajaan terhadap badan induk sukan itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, semua penaja sedia maklum dengan penerangan mengenai perancangan BAM dalam memastikan perkembangan sukan badminton negara.

Dua beregu yang keluar daripada BAM adalah Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagi beregu lelaki dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, beregu campuran kedua-duanya awal bulan ini dan Disember lepas.

“Ia mengenai pembabitan dan akan menjelaskan kepada semua penaja. Kami beritahu penaja pada 2016 kami lahirkan Olimpian kita memperoleh 3 pemegang pingat perak, bagaimana kita nak hadapi Olimpik seterusnya pada 2020 atau 2024.

“Kami akan wujudkan barisan baharu pemain yang akan menggantikan Olimpian. Saya fikir mereka memahami. Sebarang salah faham akan ditangani sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena, KL Sports City di sini.

Mohamad Norza menjelaskan tidak wajar dikaitkan penarikan penajaan berikutan keputusan dua beregu itu keluar daripada BAM kerana pemain itu adalah produk BAM yang telah gilap sejak 17 tahun lalu.

V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying yang baharu bergerak secara bebas telah menjuarai Thailand Masters pada minggu lepas.

“Seperti saya kata, selepas 15 dan 17 di bawah BAM, takkan seminggu keluar BAM dan menang bermaksud mereka bukan produk BAM. Kejayaan mereka itu hasil daripada pelaburan BAM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Norza berkata pemain muda di bawah BAM semakin menunjukkan permainan meyakinkan apabila tiga wakil iaitu Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masing-masing mara ke separuh akhir Perodua Malaysia Masters hari ini. - Bernama