10 jam padam kebakaran tangki loji penapis minyak di PD

Sumber foto FB JBPM
Sumber foto FB JBPM
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah tangki di loji penapisan minyak di Port Dickson semalam.

Pengarah JBPM negeri, Hamdan Ali berkata, kebakaran tangki bersaiz 61 meter lebar dan ketinggian 23 meter itu berjaya dipadamkan pada 1.50 pagi.

"Proses pemadaman tangki dengan kapasiti minyak sedia ada sebanyak 53,500 liter itu mencabar, berbahaya serta perlu dilaksanakan secara berhati-hati oleh 124 anggota dan pegawai dari JBPM negeri dan Putrajaya.

“Ini termasuk 25 orang daripada Hengyuan Refining Company Bhd (HRC) dan 10 orang ERT PETRON. Walaupun menghadapi kesukaran, kita berjaya menangani insiden ini dengan berkesan," katanya kepada media di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian berkenaan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Semalam, Hengyuan Refining Company Bhd dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku di salah sebuah tangki minyak mentah di premisnya.

Menurutnya pasukan Pengurusan Respons dan Kecemasannya digerakkan dan pasukan Fire, Rescue and Medical (FiRM) telh bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 4.30 petang bagi memadamkan kebakaran itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: