Kepuasan jumpa pengundi: Calon Bebas

Sallehuddin turut tidak ketinggalan berkempen meraih undi di kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Sallehuddin turut tidak ketinggalan berkempen meraih undi di kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.
A
A
A

LIPIS - Selepas beberapa hari berkempen, calon Bebas,Salehuddin Ab Talib, 60, menyifatkan peluang berdepan pengundi dan berkempen sempena PRK Cameron Highlands adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Walaupun mengakui kepenatan dan tidak memiliki jentera kempen yang ramai, bekas Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ampuan Afzan Lipis itu tetap bersemangat berkempen seperti calon-calon lain.

"Pengalaman pertama sebagai calon, tidur pun tiga atau empat jam sehari kini. Tapi saya tak kisah dan anggap kepenatan ini satu kepuasan buat saya selepas nekad untuk bertanding di kawasan ini.

"Saya anggap ia satu cabaran yang perlu dihadapi dalam misi untuk membawa suara dan membela nasib pengundi di Cameron Highlands ke parlimen nanti," katanya lagi.

Anak jati Pahang dari Felda Sungai Koyan 1 itu ditemui ketika mengedarkan risalah kempennya kepada orang ramai di Sungai Koyan.

Menurutnya, dia telah mengedarkan risalah kempen di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar pagi, pasar malam sambil dibantu rakan atau ahli keluarganya.

"Memang rakan banyak bagi sokongan moral dan membantu seperti bantuan fizikal dan pengangkutan. Terharu dan itu menyebabkan saya lagi bersemangat.

"Buat masa ini saya telah pergi ke kawasan Felda, kampung tradisi dan ke perkampungan Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh kempen yang masih berbaki beberapa hari lagi akan dimanfaatkan sebaik mungkin," jelasnya

Selain Salehuddin,seorang lagi calon bertanding atas tiket Bebas, Wong See Yee yang turut mencuba nasib dalam PRK tersebut dan berdepan calon BN, Ramli Md Nor dan calon PH, M Manogaran.