Op Benteng dipertingkat sekat PATI masuk selepas Aidilfitri

Ibrahim (dua dari kiri) meneliti peta kawasan pemantauan perairan sempadan negara ketika melawat KD Gagah Samudera yang berperanan sebagai kapal induk bagi Op Benteng di sini malam tadi.
Ibrahim (dua dari kiri) meneliti peta kawasan pemantauan perairan sempadan negara ketika melawat KD Gagah Samudera yang berperanan sebagai kapal induk bagi Op Benteng di sini malam tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Op Benteng akan ditingkatkan berikutan jangkaan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan cuba menyeludup masuk semula ke negara ini melalui 'jalan tikus' di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed berkata, PATI mungkin akan cuba masuk semula ke negara ini untuk bekerja selepas pulang beraya.

“Kegiatan industri sudah beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lebih membimbangkan apabila pendatang asing tanpa izin yang berjaya bolos ke negara ini akan mengimport virus Covid-19.

“Justeru itu, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkat menerusi Op Benteng ketika perayaan Aidilfitri terutama di lokasi titik panas pendaratan iaitu di Selat Melaka,” katanya selepas meninjau Op Benteng di Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau melawat KD Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berperanan sebagai kapal induk dalam Op Benteng.

Anggota APMM memantau kawasan perairan negara di Selat Melaka mengguna bot pemintas pada Op Benteng di sini.
Anggota APMM memantau kawasan perairan negara di Selat Melaka mengguna bot pemintas pada Op Benteng di sini.

Hadir sama Laksamana Pertama TLDM, Ruzelme Ahmad Fahmy dan Pengarah Bahagian Operasi dan Strategik TLDM, Kepten Rosli Abd Ghani.

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim berkata, tumpuan utama dalam operasi bersepadu itu adalah mengesan dan menahan tekong laut dan darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk pendatang asing ke negara ini.

Di Kuala Terengganu, Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, rondaan pengawasan di perairan negeri itu akan dipergiat bagi mencegah bot nelayan asing menceroboh perairan negara ketika musim perayaan Aidilfitri.

“Sebanyak empat buah kapal dan lima buah bot akan digerakkan untuk melaksanakan rondaan di perairan Terengganu secara bergilir-gilir, kita juga menerima bantuan daripada Maritim Johor dengan meletakkan kapal KM Tegas di perairan Terengganu ketika musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi juga berkata, pihaknya berjaya mengusir keluar kira-kira 60 bot nelayan asing Vietnam dari perairan sempadan Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac melalui Operasi Covid-19 Khas Laut.

Beliau juga meminta komuniti maritim terus menyalurkan maklumat dan aduan mengenai pencerobohan nelayan asing ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu. - Bernama