Bekas Ketua Setiausaha Sulit Dr Mahathir meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Ismail meninggal dunia akibat masalah pernafasan di kediamannya di Bangsar pada 10 pagi tadi.

Allahyarham berusia 76 tahun.

Anak keempat Allahyarham, Nik Ina Naslisa, 38, berkata, ayahnya disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang dipanggil ke rumah.

“Saya tertidur di sofa sebelah arwah. Jam 9 saya tersedar dan nampak pernafasan ayah tidak seperti biasa. Saya panggil anggota keluarga lain sebelum menghubungi paramedik.

“Tak lama kemudian paramedik tiba dan periksa arwah... paramedik sahkan daddy sudah tiada,” katanya kepada Bernama.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar untuk urusan pengebumian dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun dan bekerja dengan Dr Mahathir sejak 1981 bermula sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Setiausaha Sulit pada 1983.

Abdul Aziz bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada Mei 2000. - Bernama

Artikel Berkaitan: