Raya tanpa mantai

Peniaga, Shahrul Nidzma Mohd Shahari menggantung tulang lembu untuk dijual kepada orang ramai sempena hari mantai menjelang Ramadan di Pasar Ampangan hari ini. - Foto: Bernama
Peniaga, Shahrul Nidzma Mohd Shahari menggantung tulang lembu untuk dijual kepada orang ramai sempena hari mantai menjelang Ramadan di Pasar Ampangan hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Hari ini merupakan hari terakhir acara mantai sejak berlangsung Khamis yang menjadi kemestian dan begitu sinonim dengan adat dan budaya bagi masyarakat Negeri Sembilan sebelum sambutan Aidilfitri, esok.

Mantai menurut dialek Negeri Sembilan bermaksud membantai, sentiasa meriah disambut sehari sebelum Ramadan dan Syawal melibatkan aktiviti gotong-royong melapah daging, membakar lemang, memasak juadah rendang dan ketupat tidak dapat diadakan tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Susulan pelaksanaan PKPB, kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negeri untuk pulang berhari raya selain arahan kerajaan negeri agar mantai tidak diadakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Benarkah tidak ‘raya’ sekiranya tiada mantai?

Ahli Jawatankuasa Taman Kobena Senawang, Othman Shaari ketika diajukan persoalan itu berkata, mantai diibaratkan sebagai ‘suntikan semangat’ kepada sambutan Ramadan dan Syawal bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Raya tetap boleh beraya, cuma tidak `umph' la jika mantai tidak ada... sebab itu ketika mantai, selain memasak rendang, lemang dan pelbagai lagi, ia sebenarnya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ini sebabnya orang menjadi sangat seronok.

“Sekarang ini, disebabkan PKPB, maka aktiviti ini adalah terhad dan mungkin dilakukan secara kecil-kecilan di kampung-kampung termasuk ada yang mengambil pesanan tempahan daging. Seperti saya, saya terpaksa menempah daging di Rantau,” katanya kepada Bernama di sini.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat Negeri Sembilan mematuhi penguatkuasaan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan membeli barangan keperluan di pasar awam ketika tinjauan sempena hari mantai menjelang Ramadan di Pasar Ampangan hari ini. Foto: Bernama
Masyarakat Negeri Sembilan mematuhi penguatkuasaan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan membeli barangan keperluan di pasar awam ketika tinjauan sempena hari mantai menjelang Ramadan di Pasar Ampangan hari ini. Foto: Bernama

Beliau berkata, meskipun tiada mantai mahupun kepulangan anak-anak dari perantauan berikutan larangan pulang berhari raya, semangat mantai bagaimana pun katanya tetap perlu disuburkan.

Sementara itu, penduduk Kampung Senama Hilir, Rembau, Abdul Talib Amat, 80, berkata, mantai adalah hari yang cukup istimewa dan kebiasaannya pada hari berkenaan, harga daging dan pelbagai kelengkapan masakan lain yang ditawarkan adalah jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

"Daging yang dilapah bersama-sama akan dibahagi sama rata mengikut tempahan. Biasa harga daging mantai ni lebih murah daripada harga daging di pasar. Itulah sebab orang lebih gemar membeli daging mantai," katanya.- Bernama