Malaysia akan kaji keperluan haramkan infrastruktur Huawei 5

A
A

MALAYSIA akan menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mendapatkan butiran sebelum bertindak menyekat Huawei, sebuah telekom gergasi dari China, daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara barat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak pula mendapati syarikat berkenaan melakukan sesuatu yang salah di Malaysia.

“Apa yang Jerman mahu lakukan akan ditentukan sendiri oleh Jerman dan apa yang Kanada hendak lakukan juga keputusannya terletak kepada mereka.

“Namun Malaysia tidak akan mengikuti apa yang orang lain lakukan. Kita perlu kaji dan memastikan sama ada ia sesuatu yang berasas untuk diambil tindakan sedemikian terhadap syarikat berkenaan,” katanya menjawab kepada soalan oleh seorang hadirin selepas menyampaikan perbincangan Oxford Union yang disiar secara langsung oleh Astro Awani dari London awal hari ini.

Adalah dilaporkan bahawa Jerman sedang menimbang untuk memperkenalkan standard keselamatan lebih ketat untuk menyekat Huawei daripada pengembangan 5Gnya.

Langkah itu timbul susulan peningkatan kebimbangan dalam kalangan kerajaan di Barat bahawa peralatan Huawei mungkin digunakan untuk mengintip oleh pihak berkuasa China.

Juga dilaporkan bahawa Australia dan New Zealand telah mengharamkannya setelah Amerika Syarikat mendahului dengan menggesa komuniti antarabangsa agar tidak bekerjasama dengan syarikat China. Amerika Syarikat memberi amaran bahawa peralatan berkenaan mungkin mengandungi “pintu belakang” yang boleh digunakan untuk pengintipan siber. - Bernama