Kerajaan terlalu banyak buat U-Turn

Gambar hiasan. - Foto123RF
Gambar hiasan. - Foto123RF
A
A
A

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memang tidak asing lagi dalam dunia politik dan korporat di Malaysia. Walaupun agak jarang muncul di khalayak ramai, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu tetap mempunyai kritikan dan pandangannya tersendiri mengenai banyak isu.

Ikuti wawancara dengan Daim, 81, yang mengupas mengenai ekonomi, politik dan perkembangan semasa yang melanda negara kita sejak akhir-akhir ini.

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggelar krisis kewangan yang kita hadapi sekarang sebagai ‘The Great Lockdown’. Mereka mengatakan ia bukan seperti krisis kewangan yang kita pernah lihat sejak beberapa dekad lalu. Adakah Tun bersetuju dengan pandangan ini dan bagaimana patut kita mengurusnya?

TUN DAIM: Bagi saya, Covid-19 telah memaksa masyarakat kita menukar gaya hidup yang menjadi kebiasaan kita selama ini. Ia juga mendedahkan kepada kita segala kelemahan yang ada dalam bidang perniagaan, dalam kerajaan dan masyarakat umum.

Kita sekarang diberi peluang untuk berfikir dan mengkaji situasi semasa, diberi peluang untuk menilai diri kita sendiri, menilai perhubungan kita sesama manusia dan menilai semula keutamaan kita. Ini adalah peluang kita untuk mencari langkah yang boleh diambil supaya kehidupan kita akan menjadi bertambah baik demi masa depan kita bersama.

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997-1998 berlaku kerana ekonomi yang tidak seimbang, iaitu pelaburan spekulatif yang berlebihan di pasaran saham dan harta tanah, kepenggunaan domestik dan pelaburan yang sia-sia; dan pengurusan kewangan yang tidak cekap dan lemah (currency mismatch and maturity mismatch).

Kemudian Krisis Kewangan Global pada tahun 2008-2009 itu pula, punca krisisnya adalah kerana kelonggaran pinjaman kepada mereka yang tidak layak (sub-prime), aset yang toksik dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Kesan daripada Covid-19 ini amat besar; bukan saja ramai yang meninggal dunia, tetapi juga banyak yang hilang punca pencarian disebabkan ekonomi yang merudum. Perniagaan yang telah bertahun-tahun didirikan runtuh hanya dalam masa beberapa bulan. Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kelompok umur tiba tiba hilang kerja.

Bekalan makanan juga kita bimbang tidak cukup, jika kita tidak berhati-hati. Sekarang ini pun kita dengar rungutan bahan makanan tiba-tiba jadi mahal. Bawang besar, bawang putih, halia naik 30 peratus. Perkara seperti ini akan menyebabkan berlaku jurang ekonomi dan sosial yang bertambah besar.

Bagaimana kita menguruskan keadaan ini? Saya rasa kita kena lihat semula kepada perkara-perkara yang asas. Kita perlu beri perhatian untuk memastikan rakyat ada peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama kita mesti menyediakan peluang latihan semula kepada mereka yang menganggur.

Jenis latihan semula yang macam mana? Mulai sekarang, sistem pendidikan mestilah disesuaikan dengan kaedah semasa. Misalnya, pembelajaran di atas talian akan lebih digunakan tetapi kita juga mesti ingat, ramai pelajar yang tiada capaian internet ataupun komputer di rumah.

Kita selalu bercakap mengenai masalah kekurangan bahan makanan. Cuma, adakah ini waktu yang paling sesuai untuk merancakkan semula industri pertanian dan industri pengeluaran makanan? Mungkin sekarang kita boleh buat dengan lebih bagus, sambil menggunakan lebih banyak teknologi dan robotik.

Adakah kita perlu menekankan pembelajaran asas tani daripada peringkat sekolah rendah dan menggabungkannya dengan pembelajaran robotik dan kepintaran buatan (AI)?

Apa yang jelas, saya tidak boleh jawab dengan terperinci bagaimana kita boleh menghadapi situasi ekonomi ini. Tetapi saya fikir kita kena beri keutamaan kepada asas-asas pembangunan negara. Contohnya, bagaimana mahu mengembalikan pekerjaan kepada rakyat?

Bagaimana kita menaikkan pendapatan mereka? Bagaimana kita memastikan PKS terus berkembang dan tidak ditutup? PKS ini adalah kumpulan majikan terbesar. Dan bagaimana untuk mengurangkan harga bahan makanan?

Tun pernah menguruskan dua krisis kewangan yang besar sebelum ini. Apakah pengajaran yang Tun dapat daripada kedua-dua pengalaman tersebut?

Kita membangun sebelum ini, dan mendapat banyak pelabur kerana keadaan sosiopolitik negara yang stabil, polisi yang jelas, kepimpinan yang teguh dan dihormati, serta kedaulatan undang-undang. Tanpa keempat-empat ciri asas ini, pelabur akan lari.

Kita mesti ingat bahawa 40 peratus pelaburan di dalam negara ini disumbangkan oleh pelabur asing. Sekarang adalah masanya untuk menarik mereka ke sini.

Kita tahu pelabur-pelabur Jepun dan Amerika Syarikat sedang memindahkan operasi mereka dari China. Indonesia dan Vietnam sedang berusaha menarik perhatian para pelabur ini untuk berpindah ke negara mereka.

Dan Amerika Syarikat memutuskan untuk melabur di Indonesia. Kita akan ketinggalan jika tidak serius dalam hal ini. Malahan, pelabur tempatan juga akan melabur di negara lain jika kita tidak berhati-hati.

Jika kepimpinan kita di Malaysia kelam kabut, penuh dengan polisi U-Turn dan tidak terurus, kita akan lihat para pelabur ini akan pergi ke tempat lain. Contoh U-Turn yang paling mudah adalah kes moratorium pinjaman kereta dan rumah baru-baru ini.

Terlampau banyak penyataan yang bercanggah. Undang-undang juga nampak berbeza antara mereka yang miskin dan kaya. Kalau curi sepaket Milo, kena masuk penjara. Tetapi jika curi berbilion ringgit, boleh lepas bebas ke mana saja. Rule of Law ini penting.

Untuk menghidupkan semula ekonomi, kita perlu ada maklumat tepat dan terkini mengenai keadaan ekonomi dan perniagaan di negara ini. Semasa krisis kewangan 1998, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bermesyuarat setiap hari untuk memantau, mendapatkan maklumat harian/mingguan dan keadaan akar umbi di bawah.

Perbincangan kerap diadakan bersama pelbagai industri, persatuan, dewan perniagaan dan sektor-sektor ekonomi. Ini membolehkan kita melaksanakan program-program tindak balas untuk membantu rakyat dan para peniaga.

Kita mesti ada pelan dan pasukan yang cekap untuk melaksanakan pelan tersebut. Kita mesti ada objektif dan matlamat jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang. Kita mesti tahu cara untuk merealisasikan matlamat tersebut, cara untuk memantau kemajuan program-program ini.

Kita mesti tahu melaraskan pelan ini jika terdapat perubahan kepada keadaan semasa, dan bagaimana cara untuk berhubung dengan rakyat di bawah untuk memberitahu mereka apa yang sedang dilakukan.

Kerajaan juga harus ingat, mengendali krisis ekonomi memerlukan koordinasi dan kerjasama kesemua cabang kerajaan. Ia bukan saja tanggungjawab Menteri Kewangan. Ia adalah tanggungjawab seluruh kerajaan, yakni kesemua kementerian bekerjasama menggembleng tenaga bersama kerajaan-kerajaan negeri bagi memastikan pelan tersebut dapat dijayakan secara berkesan.

Amat sukar untuk menghidupkan semula ekonomi jika usaha kerajaan tertumpu kepada agenda-agenda lain yang boleh mengalihkan perhatian daripada masalah ekonomi yang sedang berlaku.

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

Kerajaan dan bank negara di seluruh dunia sedang melakukan apa saja untuk mengehadkan rencatan ekonomi melalui pakej rangsangan. Tetapi ada yang berpendapat pakej rangsangan ini tidak efektif. Orang ramai tidak banyak berbelanja dan perniagaan tidak melabur seperti yang sepatutnya bagi memacu perjalanan ekonomi. Apakah pendapat Tun terhadap pakej rangsangan ini?

Kejayaan rangsangan fiskal dan kewangan bergantung kepada respons rakyat dan golongan peniaga terhadap pakej rangsangan ini, serta keyakinan orang ramai tentang pembendungan Covid-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Malaysia berjumlah RM260 bilion, tetapi jumlah suntikan fiskal adalah RM35 bilion. Ia dijangka dapat mengurangkan kemelesetan ekonomi dan mengurangkan impak buruk terhadap rakyat dan para peniaga dari segi ekonomi dan kewangan, tetapi kesannya itu hanya bersifat sementara.

Yang jelas, Malaysia pada tahun ini tidak boleh lari daripada kemelesetan ekonomi. Kita negara berdagang, jika prestasi ekonomi besar dunia tidak memberangsangkan, ekonomi kita turut terkesan.

Ekonomi dunia diramalkan meleset sebanyak 3 peratus tahun ini – yang terburuk sejak ‘The Great Depression’ pada era 1930-an. Ekonomi terbesar dunia – Amerika Syarikat – sudah pun mengalami kemelesetan ekonomi.

Pada suku tahun pertama 2020, ekonomi mereka telah kuncup sebanyak 4.8 peratus – yang terburuk sejak 2008. Setakat ini, sejak tujuh minggu yang lalu seramai 33.5 juta rakyat mereka telah hilang pekerjaan. Kadar pengangguran mereka adalah setinggi 15.5 peratus, sama sewaktu era 1930-an dulu.

Minggu lepas sahaja, seramai 3 juta penduduk mereka mendaftar untuk mendapatkan bantuan pengangguran. Dalam masa yang sama, 21.7 juta pekerjaan hilang dalam bulan April.

Ini adalah 27 kali ganda lagi teruk daripada kadar pengurangan pekerjaan semasa krisis kewangan tahun 2008 dahulu dan 11 kali lagi teruk daripada rekod buruk pada bulan September 1945 ketika Perang Dunia Kedua berakhir.

China juga sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Pada suku tahun pertama, ekonomi mereka menguncup 7 peratus, pertama kali ia terjadi dalam tempoh amat lama. Ekonomi United Kingdom juga mengalami nasib yang sama di mana ia mengecut dalam suku tahun pertama.

Malaysia juga tidak terkecuali. Kerajaan meramalkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meleset sekurang-kurangnya 2 peratus tahun ini. Andaian saya ialah angka itu sepatutnya lebih besar. Cuba kita lihat pada suku pertama tahun ini.

Walaupun sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan naik sedikit, masing-masing pada kadar 3.1 peratus dan 1.5 peratus, sektor-sektor lain semuanya negatif. Kita mesti ingat PKP hanya bermula pada dua minggu terakhir bulan Mac, tetapi hampir kesemua sektor ekonomi sudah terkesan teruk.

Kedudukan fiskal kerajaan akan menjadi lebih sukar, kerana ramai peniaga sedang bergelut untuk kekal bertahan. Satu kajian yang di buat oleh Pertubuhan PKS pada bulan Mac lalu berkata bahawa 8 daripada 10 syarikat PKS meramalkan akan mengalami kerugian dalam tahun 2020.

Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir 7 daripada 10 syarikat di Malaysia tidak ada langsung pendapatan sejak PKP bermula. Pengangguran akan menjadi lebih tinggi.

Akhirnya, jumlah rakyat yang boleh berbelanja berkurangan. Peniaga akan terjejas. Jika eksport pun tidak menggalakkan, jumlah pengguna bertambah kecil, dan jika peniaga tidak melabur, bagaimana ekonomi berkembang? Kutipan hasil cukai kerajaan akan lebih rendah. Bagaimana kita hendak biayai perbelanjaan dan pembangunan negara?

Apakah kerajaan bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi krisis ini? Perdana Menteri mengatakan negara kerugian RM2.4 bilion sehari semasa PKP berjalan. Adakah kita tergesa-gesa untuk membuka semula ekonomi? Adakah ini bermakna kerajaan tidak mampu menampung ekonomi ketika keadaan mendesak?

Saya percaya kerajaan mampu menghadapi defisit yang lebih tinggi untuk membantu rakyat, terutamanya untuk memastikan rakyat tidak hilang kerja, dan syarikat tidak bankrap. Apabila ekonomi pulih, kita boleh menurunkan semula defisit tersebut.

Kita pernah lakukan ini beberapa kali semasa krisis pada era 1980-an, akhir 1990-an dan krisis tahun 2008 dahulu. Ketika itu apabila ekonomi pulih, kita kurangkan defisit. Kita tak boleh terlampau taksub mengenai defisit ini sampai tidak mahu berbelanja kerana takut defisit naik.

Fokus utama kita adalah untuk menyelamatkan rakyat. Kita mesti lakukan apa saja untuk rakyat, isu defisit ini kita selesaikan bila ekonomi pulih kelak. Saya faham kenapa kerajaan tidak sabar untuk membuka semula ekonomi.

Tetapi saya rasa ada banyak pihak berkepentingan berbalah mengenai cara ia dibuka semula. Mereka merasakan ia dilakukan secara tergesa-gesa, tidak teratur dan tidak cekap. Mereka cuma diberi dua hari untuk bersiap sedia sebelum ekonomi dibuka.

SOP yang diberi pula berlainan antara satu sektor ke sektor yang lain, malah SOP tersebut bertukar beberapa kali selepas pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri. Banyak NGO dan badan perniagaan memberitahu bahawa mereka dirunding hanya selepas pengumuman dilakukan.

Krisis ini memberi kesan kepada orang miskin dan yang senang terdedah kepada kemelesetan ekonomi seperti pekerja upah harian, orang yang bekerja sendiri, industri pelancongan dan sebagainya. Ramai yang telah diberhentikan kerja dan industri PKS kebanyakan mengalami penutupan.

Ini menyebabkan ramai hilang pendapatan. Apakah yang perlu dilaksanakan untuk mengelakkan jurang pendapatan daripada membesar? Saya rasa hampir semua orang akan terjejas kerana krisis ekonomi ini.

Jadi, apa yang penting dan utama sekali ialah melindungi isi rumah dan perniagaan yang senang terdedah, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana. Bagi syarikat korporat, selain daripada bantuan RM50 bilion yang diperuntukkan oleh DanaJamin, mereka boleh memohon bantuan pembayaran pinjaman daripada CDRC.

Krisis ini mendedahkan kepincangan dalam jaringan keselamatan sosial kita. Saya bagi contoh, jika anda ialah seorang pekerja swasta dan menyumbang kepada Perkeso, sebaik saja anda kehilangan kerja, anda boleh mendapat pendapatan melalui skim insurans majikan selama enam bulan.

Tetapi jika anda bekerja sendiri, seperti Mak Cik Timah atau Pak Ali, anda tidak ada perlindungan langsung. Kita kena ingat bahawa separuh daripada jumlah mereka yang bekerja sendiri telah pun hilang pekerjaan.

UMNO, Pas dan Bersatu rebut kerusi Melayu

Tun pernah tidak bersetuju dengan penubuhan Perikatan Nasional. Adakah Tun masih berpendapat sebegitu? Apa pendapat Tun mengenai UMNO dan Pas? Dan juga tentang perihal Bersatu, adakah mereka akan berdamai?

Prinsip saya masih tidak berubah. Ini adalah persoalan mengenai sah atau tidak sah perikatan tersebut. Parti-parti tersebut boleh bergabung untuk membuat sebarang perikatan. Tetapi bergabung untuk jadi kerajaan adalah tidak selari dengan kehendak dan mandat rakyat.

Kita mesti hormat mandat yang diberi oleh rakyat, rakyat mengundi agar kerajaan PH memerintah selama lima tahun atau sehingga pilihan raya umum. Kita kena hormat kehendak rakyat. Penubuhan Perikatan Nasional tidak menghormati mandat tersebut.

Satu lagi ialah isu kerajaan Melayu. Ya, kerajaan PN boleh kata mereka telah menjemput GPS, MIC dan MCA sertai mereka, tetapi bagi MIC dan MCA, pelantikan mereka dalam kerajaan hanya lambang atau simbol. Ini kerana kedua-dua parti bukan Melayu ini tidak ada banyak kerusi di dalam Parlimen.

Walaupun MCA telah melantik beberapa pemimpin mereka ke dalam GLC, mereka tidak ada suara dalam hal ehwal kerajaan. Oleh itu, siapa sebenarnya yang mewakili rakyat bukan Melayu dalam kerajaan? Untuk menjadi wakil, tidak boleh sebagai token saja. Ia tidak berkesan.

UMNO dan Pas nampaknya telah menjalin satu ikatan yang kuat. Tapi masih terlalu awal untuk menafsir kekuatan mereka kerana ada tiga tahun lagi sebelum pilihan raya. Bila pilihan raya menjelang, adakah mereka masih akan rapat jika mereka semua berebut kerusi yang sama di kawasan Melayu?

Saya tidak tahu jika Bersatu akan mencapai kata sepakat dan berdamai. Terserah kepada ahli parti untuk menentukannya. Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu semuanya parti Melayu, dan akan berebut kerusi Melayu nanti.

Saya tidak pasti bagaimana sebuah perikatan yang ada saingan antara tiga parti ini dapat memuaskan hati ahli-ahli mereka. Adakah agenda tolak-menolak, tarik-menarik antara ahli akan mengacau jentera kerajaan dan mengganggu semua inisiatif kementerian yang telah dirancang untuk rakyat?

Jika mereka tidak dapat bekerjasama dalam satu kumpulan, bagaimana hendak untuk memulihkan ekonomi dan menaik taraf kehidupan rakyat dibuat dengan berkesan?

Adakah Tun fikir Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan kesilapan kerana meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu?

Kita perlu mendengar dan fahami penjelasan beliau. Beliau dah terangkan bahawa beliau tidak ada banyak pilihan kecuali untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu kerana pada waktu itu, parti Bersatu tidak lagi menyokongnya dan tidak mahu mendengar nasihat serta gesaan beliau untuk tetap bersama PH.

Pada malam itu, Bersatu, UMNO dan Pas bergabung dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel dan mengumumkan bahawa kerajaan telah jatuh (kerana Bersatu telah keluar daripada PH).

Keesokan harinya, atas sebab prinsip, beliau meletakkan jawatan. Hanya selepas itu, Bersatu memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatan tersebut. Ini semua atas sebab prinsip dan keputusan telah dibuat.

Bukannya mudah untuk berkata adakah beliau buat kesilapan atau tidak. Kita mesti faham situasi ketika itu. Beliau buat keputusan berdasarkan waktu itu. Bukannya beliau ada banyak masa, beliau kena buat keputusan secepat mungkin.

Setelah melihat semua maklumat yang ada, amat mudah untuk berkata, beliau silap, atau tidak silap. Tetapi pada waktu itu, dan ketika ditekan dari semua arah, adakah ia satu kesilapan? Kita tidak berada kedudukannya pada masa itu.