X

Kindly register in order to view this article
!

Jasa 'oven' kecil

Nurul Farah Ayuni bersama oven kecilnya dan biskut raya Hello Kitty comel yang dihasilkan.
A
A

KEMAMAN - Walaupun hanya memiliki sebuah ketuhar gelombang mikro (oven) bersaiz kecil, seorang suri rumah mampu menghasilkan sehingga 270 keping biskut raya bentuk kartun popular, Hello Kitty setiap hari.

Nurul Farah Ayuni Abdullah, 33, dari Perumahan Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut di sini berkata, beliau tidak menyangka biskut raya Hello Kitty yang dihasilkan sekadar untuk memenuhi minat sendiri dan permintaan anak-anak mendapat sambutan hangat.

Menurutnya, maklum balas ramai diperoleh selepas memuat naik biskut yang dihasilkan di laman sosial Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini.

"Lepas saya hasilkan semula biskut raya, saya rasa nak berkongsi di laman Facebook tersebut, tak sangka pula dapat sampai 21,000 reaksi dan ramai juga yang berminat untuk menempah.

"Saya mula menghasilkan biskut ini menggunakan adunan dihasilkan sendiri ketika menetap di Johor Bahru pada 2018," katanya.

Antara biskut raya Hello Kitty yang dihasilkan.
Antara biskut raya Hello Kitty yang dihasilkan.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia kembali menghasilkan biskut itu sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Musim PKP mula-mula tu saya ada dapat bantuan dari segi wang ringgit. Saya gunakan wang itu untuk beli bahan buat biskut raya ni.

"Alhamdulillah, setakat ini sambutan diterima amat memberangsangkan, ada yang tempah dari Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan," katanya.

Katanya, disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) permintaan untuk pos ke luar Terengganu terpaksa batalkan.

"Sekarang saya hanya boleh hantar tempahan melalui perkhidmatan bayar ketika penghantaran (COD) kepada mereka yang menempah dari kawasan terdekat," katanya.

Anak keduanya, Nur Balqis Humayraa bersama biskut Hello Kitty yang dihasilkan.
Anak keduanya, Nur Balqis Humayraa bersama biskut Hello Kitty yang dihasilkan.

Nurul Farah Ayuni berkata, dia menjual pada harga RM20 sebalang yang mempunyai 45 keping biskut Hello Kitty dan turut menjual biskut raya lain seperti kuih sarang semut, biskut dahlia dan beberapa biskut raya lain.

"Setakat ini dalam sehari, saya mampu hasilkan dalam enam balang biskut raya ini yang setiap satunya mengandungi 45 keping biskut," katanya.

Ditanya perancangan selepas ini, katanya, dia bercadang untuk memberi tumpuan bagi penghasilan biskut raya Hello Kitty dan beberapa jenis biskut lain lagi.

"Saya berhasrat untuk kembangkan lagi perniagaan ini, tetapi saya tak tahu nak mula dari mana. Lagipun saya sekarang tinggal berasingan dengan suami kerana jarak jauh, susah sikit untuk ke mana-mana.

"Suami pula kerja kontrak di Gambang, Kuantan. Bukan kerja tetap. Kalau boleh saya mahu bantu dia jana sendiri pendapatan untuk bantu tingkat ekonomi keluarga," katanya.

Nurul Farah Ayuni tinggal bersama lima anaknya, Muhammad Hafiz,13; Nur Balqis Humayraa, 1; Che Wan Muhammad Adam Nawfal, 6; Che Wan Nur Annisa Safiyya, 4 dan Che Wan Nur Asyiffa Wardina, 2.

Antara biskut raya Hello Kitty yang siap dimasak dan sedia untuk diisi ke dalam bekas untuk dijual kepada pelanggan.
Antara biskut raya Hello Kitty yang siap dimasak dan sedia untuk diisi ke dalam bekas untuk dijual kepada pelanggan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus