X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Dan terpaksa beraya di ibu kota

Mat Dan bersama isteri, Nadifa dan anak lelaki mereka, Muhammad Zayne.
A
A

KUALA LUMPUR - Persiapan Aidilfitri personaliti televisyen, Mat Dan tahun ini lebih sederhana bersama isteri, Nadifa Adnan, 31, dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mat Dan atau nama Islamnya, Kareef Danial, 31, dan Nadifa serta anak lelaki mereka, Muhammad Zayne Danial James Tyler, 3, juga menyambut perayaan itu buat kali pertama di ibukota tanpa ahli keluarga lain.

"Sambutan perayaan kali ini pastinya berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya kerana kami tidak boleh balik Terengganu pada Syawal tahun ini kerana PKPB. Kami sambut sederhana di sini sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Mat Dan berkata, beliau bersyukur kerana mempunyai banyak masa bersama keluarga termasuk ketika Ramadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

Pada masa sama, Ramadan kali ini Mat Dan berada di rumah sepenuhnya berikutan tempoh PKP dan PKPB masih dilaksanakan seperti yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara.

"Walaupun begitu kami tetap menyemarakkan suasana Ramadan di rumah dengan amalkan aktiviti secara berjemaah seperti solat fardu, solat Tarawih, berbuka puasa dan bersahur," katanya.

Selain itu, Mat Dan dan isteri juga bertadarus al-Quran selepas solat fardu selain mengikut keselesaan waktu dan menjadikannya sebagai peluang keemasan untuk beribadah bersama keluarga malah beliau yang terkenal dengan rancangan Haramain Backpackers itu menyifatkan sambutan Ramadan dan Syawal kali ini lebih istimewa yang pasti akan diingati sepanjang hidup mereka.

Ketika ditanya mengenai pengalaman Ramadan yang tidak dapat dilupakan, Mat Dan berkata, berpuasa di Mekah dan Madinah selama 12 hari pada 2016 yang lalu adalah memori terindah baginya dan isteri.

"Pengalaman itu tidak dapat saya dan isteri lupakan kerana kami dapat menikmati keindahan suasana Ramadan di Tanah Suci dan kali terakhir kami ke sana ialah pada Disember tahun lalu dan ketika itu membawa bersama Muhammad Zayne.

"Insya-ALLAH, jika PKPB ini berakhir dan tiada lagi PKPB saya juga akan menyambung semula aktiviti seni saya seperti biasa dan sekarang pun sudah ada tawaran yang diterima," katanya ketika diajukan soalan mengenai kerjayanya.

Mat Dan dan Nadifa serta anak mereka ketika berada di Tanah Suci Disember tahun lalu.
Mat Dan dan Nadifa serta anak mereka ketika berada di Tanah Suci Disember tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus