Syawal dan takbir tetap syahdu

A
A
A

MESKI dalam ancaman dan intaian Covid-19, Hari Raya Aidilfitri tetap diraikan dengan terbitnya fajar Syawal esok.

Setelah sebulan berpuasa, takbir raya akan berkumandang. Cuma kali ini tiada sahutan takbir beramai-ramai di masjid dan surau, tiada juga saf berasak-asak menunaikan solat sunat berjemaah pagi raya.

Maka Tok terkenang raya tahun-tahun sebelumnya sejak zaman kanak-kanak yang serba indah itu...

SEBAGAI kanak-kanak terasa benar keseronokan menjelang raya. Walaupun kehidupan di kampung Sungai Ekor, kini Sungai Jaya amat sederhana, raya sudah dirasakan sejak minggu akhir puasa.

Emak sudah mula membuat kuih raya. Baru hendak masuk darjah satu, Tok jadi pembantu emak di dapur.

Selalu Tok beritahu budak-budak lain yang bertarawih di surau: “Emak kita dah buat tiga jenis kuih...”

Budak-budak lain pun megah bercerita tentang semperit, wajik, tumpi dan macam-macam kuih yang emak dia orang sudah buat. Seronoknya!

PALING Tok suka tiga hari sebelum raya apabila emak dan abah mengajak Tok ke pekan Bukit Gambir untuk beli baju raya. Sepasang baju Melayu, songkok dan kasut raya. Baju tidak bersamping itu daripada kain paling murah tetapi Tok sudah cukup puas hati.

Artikel Berkaitan:

Songkok sengaja abah beli yang besar sehingga menyerkup hampir seluruh muka. Alasan abah: “Biar beli yang besar, boleh pakai lama...”

Adapun kasut raya yang abah belikan ialah kasut getah bertali warna putih. Kata abah: “Lepas raya nanti kasut itu engkau buat masuk darjah satu.” Walaupun serba sederhana, tidak berjenama, baju, songkok dan kasut raya itu Tok pakai dua tiga kali sebelum raya. Tidur pun pakai kasut baru!

MAKA hari raya itu bergaya sakanlah Tok dan kawan-kawan dengan baju baharu. Lepas solat raya, ramai-ramai mengikut rombongan marhaban ke rumah-rumah.

Masuk rumah ketiga Tok sudah kekenyangan tetapi ikut juga rombongan marhaban sebab dapat duit raya.

Ada pun duit raya itu diberi kepada budak-budak ketika turun tangga lepas marhaban. Biasanya 5 sen, lebih-lebih pun 10 sen tapi rumah Tok Ketua tidak boleh miss, sebab dia beri 20 sen!

PERIHAL kasut raya yang telah dicuba tiga-empat kali sebelum raya itu rupaya Tok hanya pakai setakat dua tiga rumah. Lepas rumah Tok Ketua, kasut bertali itu Tok tidak pakai dan jinjing sepanjang jalan.

Bukan sayangkan kasut tetapi kaki Tok melecet, almaklumlah biasanya tidak pernah pakai kasut.

WALAUPUN hanya 5 sen atau 10 sen bukan semua rumah dapat duit raya. Abah kata: “Apa yang penting ialah silaturahim, bukan duit raya.”

Tetapi bagi Tok, juga bagi kebanyakan budak lain, duit raya itu penting sekali. Jangankan 5 sen, 1 sen pun sudah amat menggembirakan.

Malam itu Tok campakkan kasut raya di bawah tangga dan ada keseronokan lain iaitu mengira duit raya yang diterima sepanjang hari.

Demikianlah suasana lebih setengah abad lalu di kampung terpencil, kehidupan amat sederhana, Aidilfitri amat meriangkan walaupun dapat hanya 5 sen duit raya.

Budak-budak hari ini hidup dalam serba kemewahan tetapi selalu tidak puas hati apabila membuka angpau yang Tok bagi.

Malah, ada yang berani membuka angpau itu di depan Tok dan bersinis: “Laa ingatkan RM50, rupanya hanya RM5!”

Setelah tua Tok selalu teringat kata-kata abah (kini arwah): “Apa yang penting bukan duit raya (angpau) tetapi silaturahim...”

AKHIR kalam, Tok ucapkan selamat hari raya. Semoga Syawal walaupun dalam tempoh PKP dapat meningkatkan ketakwaan kita!