Covid-19 selamatkan saya

A
A
A

MAKA tersebutlah al-kisah di sebuah jajahan Negeri Gunung Berapi yang sudah lama tidak memberi muntahan lavanya. Kisah ini adalah cerita yang melibatkan negeri yang beberapa kali dilanda angin perebutan kuasa.

Perebutan kuasa antara Parti Berhak dan Parti Berkeras masih berlanjutan sehingga sekarang. Ia menyebabkan ketidakstabilan akan negeri ini dalam menangani masalah politiknya. Datuk Azwa Karim juga beberapa kali kecundang dalam arena perebutan kuasa ini.

Bagaimanapun, bak kata peribahasa Melayu lama jajahan tersebut, awak hendak hilir, ia telah hanyut. Kepada yang tidak tahu akan maksud peribahasa ini eloklah dibuat carian dalam laman Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam satu wawancara khas oleh seorang wartawan yang bernama Johari Jaafar bersama Datuk Azwa Karim, diceritakanlah sebenar-benarnya akan segala yang terjadi.

“Apa perasaan Datuk dengan jatuhnya kerajaan Parti Berhak ini?” tanya Johari Jaafar dengan tertib.

“Ah, ia tidak berlaku sekelip mata tetapi mesti ada perancangan telitinya. Ia tidak semudah itu. Namun, apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Bubur ini bukanlah bubur lambuk di Kampong Bharu tetapi bubur lambuk yang kalau dimakan pun tidak terasa sedapnya lagi,” jawab Datuk Azwa tegas.

“Jadi, apakah sebenarnya pengajaran yang Datuk peroleh?” tanya Johari Jaafar.

“Oh, saya menerima dengan terbuka. Saya reda ketentuan-Nya. Semua berlaku adalah kehendak-Nya. Memang kita ada kelemahan tetapi kita juga ada kekuatan, cuma mungkin ini kali pertama berlaku pertukaran kerajaan. Maka, mungkin ada segelintir rakyat terutama bangsa Keturah yang belum bersedia sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Ditambah pula dengan beberapa menteri yang bercakap menggunakan lutut berbanding kepala, maka terjadilah apa yang kita lihat sekarang ini,” jawab Datuk Azwa sambil menunjuk-nunjuk jari ke langit.

“Sebenarnya Datuk, apa yang tidak kena dengan Parti Berhak sehingga berlaku perpecahan dalaman?” tanya Johari Jaafar lagi ikhlas.

“Mesti ada dalang di sebalik kejadian ini. Ada pengkhianat. Banyak kerajaan dahulu pun jatuh disebabkan oleh pengkhianat,” kata Datuk Azwa.“Baik, baik. Apa jangkaan Datuk berkenaan usul undi tidak percaya ini?”

“Itu kita akan cuba tengok. Kot-kot mana tahu untung sabut timbul. Kita sekarang cubalah hendak merampas kembali mandat rakyat. Untung-untung saya bolehlah jadi Perdana Menteri,” kata Datuk Azwa perlahan berbisik di telinga Johari Jaafar.

Johari Jaafar mengangguk-angguk: “Bagaimana hubungan Datuk dengan Datuk Fadil Mahmud daripada Parti Berkeras?”

“Bagaimana apanya? Kau tanya dialah, kenapa tanya aku pula?”

“Berdasarkan kenyataan Datuk bersama Datuk Fadil, ada menyatakan tidak berniat untuk merebut kuasa. Apakah maksudnya?”

“Kami ni dah tua. Bukan lagi soal kuasa dan harta, cuma hendak membetulkan apa yang salah selama ini. Sebab itulah prinsip kami,”

“Mungkin disebabkan Covid-19, maka Parti Tebuk Atap Nasional selamat daripada dijatuhkan? Apa pendapat Datuk?”

“Saya ada berjumpa dengan seorang syeikh besar sebelum ini. Beliau berkata ‘Azwa, anta patut bersyukur. Covid-19 telah menyelamatkan anta. Saya bertanya pula kenapa? Kalau tidak, tak tahulah apa akan terjadi kalau anta mewarisi kerajaan yang mengalami ekonomi gawat, ramai yang dibuang kerja dan rakyat yang sengsara.

“Sebenarnya Tuhan menolong saya dan mungkin juga benar disebabkan Covid-19, maka Parti Tebuk Atap Nasional selamat,” jawab Datuk Azwa dengan reda.

“Kalau begitu tidakkah Datuk terfikir yang kata-kata syeikh besar itu hendak memberitahu sebenarnya Datuk tidak berupaya memerintah jika negeri mengalami keadaan gawat begitu? Apa kata Datuk?” bertanya Johari Jaafar bersungguh-sungguh.

“Ah, sudahlah,” Datuk Azwa menjerit. Beliau terus bingkas dengan pantas meninggalkan Johari Jaafar terpinga-pinga.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com