X

Kindly register in order to view this article
!

Memperkasakan potensi Komanwel

A
A

ISNIN lalu penulis ditemu ramah oleh sebuah stesen radio tempatan. Ketika dihubungi, mulanya penulis menjangkakan ditanya tentang sidang Parlimen pertama selepas Perikatan Nasional berkuasa tetapi sebaliknya pula.

Yang ditanya berkenaan relevan atau tidak pertubuhan Komanwel kepada Malaysia. Memang tidak banyak penulisan tentang Komanwel dibuat bagi memberikan maklumat dan pemahaman umum tentangnya.

Mungkin banyak kalau bersifat penyelidikan dan ilmiah tetapi sangat kurang bersifat bacaan umum. Kalaulah ditanya orang ramai, barangkali Komanwel yang mereka tahu hanyalah setakat Sukan Komanwel. Selain daripada itu mungkin tidak ramai tahu tentangnya dengan mendalam.

Komanwel diwujudkan pada tahun 1931 sebagai sebuah persatuan sukarela melibatkan negara-negara bekas jajahan empayar British yang telah merdeka kecuali Mozambique (menyertai Komanwel 1995) dan Rwanda (2009), kedua-duanya bukan negara bekas jajahan British.

Secara umumnya, Komanwel diwujudkan sepertimana makna kata nama ‘Commonwealth’ yang bermaksud bersama berkongsi kekayaan.

Dilabel sebagai ‘Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)’ kecil, Komanwel mempunyai 53 keahlian negara dengan populasi seramai 2.4 bilion (hampir 30 peratus penduduk dunia) secara zahirnya sangat berpotensi untuk dikembangkan.

Malangnya, Komanwel dilihat masih jauh daripada potensinya yang sebenar.

Setakat ini, Komanwel tidak berkembang sebagai satu organisasi yang berfungsi, sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik-keselamatan.

Sehingga kini, Komanwel dilihat seperti sebuah pertubuhan yang tidak mampu menawarkan hak perdagangan eksklusif, tidak mempunyai pengaruh terhadap apa-apa dasar pertahanan atau ekonomi, tiada autoriti eksekutif ke atas ahli-ahlinya dan tiada perancangan masa depan terhadap peranannya pada peringkat global.

Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu pernah memerli Komawel sebagai sebuah ‘kelab sosial’ yang tidak mampu menyumbang apa-apa kepada dunia.

Ireland juga pernah menyindir kemandulan Komanwel dengan menyatakan mana-mana negara lebih baik menghabiskan masa dan wang mereka pada organisasi lain seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), PBB ataupun blok perdagangan serantau seperti Kesatuan Eropah (EU). Begitulah teruknya Komanwel dibelasah oleh bekas ahlinya sendiri, Ireland.

Sebagai sebuah pertubuhan, Komanwel tidaklah seteruk yang disangkakan. Pada permulaan, ada beberapa aspek Komanwel yang berjaya dijalankan terutama memberikan ruang sepunya kepada semua negara kecil atau besar untuk duduk berbincang bersama.

Pada masa yang sama, Komanwel juga berperanan dengan baik dalam mendorong negara-negara ahli yang baru merdeka dan sedang membangun memperbaiki aspek hak asasi manusia, sistem pemerintahan serta standard demokrasi mereka.

Bagaimanapun, sehingga kini potensi Komanwel yang sebenar masih lagi belum lagi diteroka.

Tahun lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggangarkan nilai Komanwel sebagai sebuah blok perdagangan dengan menggabungkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap ahlinya berjumlah AS$9 trilion (hampir RM40 trilion).

Potensi besar ekonomi Komanwel inilah yang sepatutnya segera dimanfaat untuk menjana kekuatan dan dikembangkan sebagai pengaruh ekonomi Komanwel. menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan sesama ahli.

Dengan termeterainya Brexit, mungkin Komanwel adalah pilihan terbaik buat Britain dalam mencari sumber alternatif dalam perdagangan serta pelaburan mereka setelah meninggalkan EU.

Sebagai permulaan, barangkali sidang kemuncak Komanwel terutama Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) akan datang boleh berbincang untuk membentuk satu kerangka kepada pembentukan satu undang-undang legal-obligatory (sah-wajib) bagi membolehkan Komanwel beranjak daripada sebuah pertubuhan bersifat sukarela setidak-tidaknya dalam konteks perdagangan bebas.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus