Tipu kutipan derma: Tiga individu ditahan termasuk posmen

polis
polis
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang posmen yang tular sebelum ini kerana dikatakan hidup susah direman tiga hari bersama dua individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan.

Suspek berusia 22 tahun itu bersama dua individu yang dikenalinya didakwa sanggup menjaja cerita sedih kerana mahu meraih simpati dan sumbangan orang ramai sehingga memperoleh sumbangan mencecah RM5,000 dengan memuat naik kisah sedih mengenai abang posmen yang didakwa hidup susah kerana tidak mendapat bonus daripada syarikat Pos Malaysia Berhad di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pada mulanya posmen berusia 22 tahun itu membuat laporan polis menafikan penglibatannya dalam kutipan bantuan berkenaan, namun ketika proses rakaman keterangan diambil, lelaki berkenaan didapati gagal memberi kenyataan konsisten sehingga menimbulkan keraguan.

"Hasil soal siasat mendapati posmen berkenaan bersama abang dan kakak angkatnya terlibat dengan kisah sedih ini memuat naik gambar posmen dengan nama Amirul Megat kononnya hidup susah kerana tidak mendapat bonus.

"Siasatan mendapati nama Amirul Megat itu tidak wujud sebaliknya ia adalah gambar pengadu sendiri (posmen) yang dimuat naik untuk meraih simpati orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafee berkata, susulan itu, tangkapan dibuat terhadap pengadu, selain menahan kakak angkatnya berusia 35 tahun di Pejabat Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 10 malam, semalam selepas dia diminta tampil untuk bantu siasatan.

Katanya, suspek ketiga berusia 23 tahun yang juga adik kepada wanita berkenaan turut ditahan tidak lama kemudian di lokasi sama kerana dipercayai terlibat dengan penipuan berkenaan.

"Siasatan mendapati suspek ketiga merupakan 'admin' bagi kumpulan Facebook yang bernama Masakan Utara Barat dan dia dipercayai menularkan kisah sedih berkenaan bagi mendapatkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah merampas empat buah telefon bimbit berserta kad sim dan sekeping kad ATM daripada ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut," katanya.

Shafee berkata, wang sumbangan yang diterima oleh mereka telah habis digunakan untuk membeli barang milik pengadu.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman selama tiga hari sehingga 24 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.