Apa kurangnya bekas pemain negara?

Laporan Sinar Harian Isnin lalu.
Laporan Sinar Harian Isnin lalu.
A
A
A

PENSTRUKTURAN semula barisan kejurulatihan sepertimana yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ahad lalu disambut baik demi kebaikan sukan badminton negara pada masa depan.

Namun, di sebalik perkhabaran itu timbul persoalan apabila ketiadaan seorang pun kelibat bekas pemain negara dalam senarai kejurulatihan skuad negara bagi persediaan menghadapi final Piala Thomas dan Piala Uber dan Olimpik Tokyo tahun depan.

Menurut bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim, situasi itu boleh disifatkan satu perkembangan kurang sihat dalam karier bekas pemain negara yang ingin berbakti kepada skuad kebangsaan.

“Melihat kepada senarai ketua jurulatih diumumkan BAM, ingin saya bertanya apakah kita sudah ketandusan bekas pemain yang berkualiti dan berwibawa untuk berbakti kepada negara?

“Mengapa kita tak beri peluang kepada Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong atau legenda lain yang sudah mempunyai rekod cemerlang di peringkat antarabangsa?

“Ya, memang betul BAM ingin buat perubahan dalam kem badminton negara bagi meningkatkan prestasi badminton negara tapi takkan melampau sampai empat ketua jurulatih dari luar negara.

“Jika BAM kata pemilihan ketua jurulatih berdasarkan kewibawaan atau merit, tapi mengapa terdapat ketua jurulatih yang tidak perform masih dikekalkan lagi?," katanya kepada Sinar Harian.

BAM menstruktur semula barisan kejurulatihan skuad negara dengan kem perseorangan lelaki diketuai Hendrawan sambil dibantu Datuk Tey Seu Bok manakala Indra Widjaja dengan dibantu Loh Wei Sheng menerajui perseorangan wanita.

Artikel Berkaitan:

Bekas pemain beregu Indonesia, Flandi Limpele dibantu Rosman Razak dan Hoon Thien How akan mengendali skuad beregu lelaki manakala bekas pemain beregu negara, Chan Chong Ming mengambil alih skuad beregu wanita sambil dibantu Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara sebelum ini, Paulus Firman pula diberikan tugas memperbaiki prestasi kem beregu campuran sambil dibantu Teo Kok Siang.

Pada masa sama, Roslin turut mempertikai keputusan BAM yang meletakkan Paulus untuk membimbing skuad beregu campuran negara.

“Sumbangan Firman bolehlah kita banggakan sebab beliau berjaya memastikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik konsisten dari segi mutu permainan mereka.

“Seharusnya Firman terus kekal bagi memantapkan lagi kem beregu lelaki negara, tetapi secara tiba-tiba diturunkan pangkat dengan alasan bagi memperbaiki kem beregu campuran, tidakkah ini sesuatu yang pelik bukan?,” tegasnya.