Pesawat bawa 99 penumpang, lapan kru terhempas di Pakistan

Bomba memadam bangkai pesawat yang terbakar selepas terhempas di kawasan perumahan di Karachi. - Foto: Agensi
Bomba memadam bangkai pesawat yang terbakar selepas terhempas di kawasan perumahan di Karachi. - Foto: Agensi
A
A
A

ISLAMABAD - Sebuah pesawat Pakistan International Airlines terhempas di Karachi dalam penerbangan dari Lahore, kata pegawai penerbangan hari ini.

Pesawat malang itu dilaporkan membawa seramai 99 penumpang dan lapan kru, terbang dari Lahore ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, salah satu lapangan terbang paling sibuk di Pakistan.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap kelihatan dari lokasi nahas iaitu berhampiran kawasan perumahan di Karachi.

Perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian di mana kediaman telah rosak.

"Pesawat itu terhempas di Karachi. Kami berusaha untuk mengesahkan jumlah penumpang dan akhirnya mengesahkan terdapat 99 penumpang dan lapan anak kapal," kata jurucakap pihak berkuasa penerbangan Pakistan, Abdul Sattar Khokhar.

Kemalangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Pakistan menyambung semula penerbangan komersil.

Pakistan menggantung operasi penerbangan antarabangsa pada 21 Mac berikutan jangkitan Covid-19 dari luar negara terutamanya dari Iran dan negara Teluk.

Kira-kira 20 peratus penerbangan domestik akan kembali beroperasi di lima lapangan terbang utama di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta, dan Peshawar. - Agensi

Artikel Berkaitan: