Covid-19: Kerajaan setuju gubal RUU Pelaksanaan Langkah Sementara

TAKIYUDDIN
TAKIYUDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan COVID-19, selain memulihkan ekonomi serta membantu rakyat pasca pandemik itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April dan 20 Mei lalu bersetuju dengan cadangan penggubalan RUU itu, yang akan melibatkan beberapa pindaan di bawah akta tertentu.

“Penggubalan RUU ini adalah komitmen kerajaan, untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19, yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat serta industri.

“Menerusi RUU ini, kerajaan yakin kesan pasca Covid-19, dapat ditangani dengan berkesan dan efisien,” katanya.

Katanya semua kementerian telah diminta untuk mengenal pasti akta-akta yang perlu dipinda mengikut kementerian masing-masing, dan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggubalan Rang Undang-Undang tersebut, yang akan beliau pengerusikan pada 28 Mei ini.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, akan bertindak sebagai penyelaras langkah penggubalan ini, dan hasil perbincangan serta sesi libat urus kementerian bersama agensi pelaksana, termasuk CSO (Ketua Pegawai Strategi) serta NGO (badan bukan kerajaan), akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, bagi cadangan pembentangan di Parlimen pada Julai ini,” katanya.

Takiyuddin berkata, penggubalan RUU merupakan pelepasan sementara bagi mengatasi sebarang peruntukan yang tidak selaras dengan akta berkaitan, dalam tempoh ditetapkan.

“Oleh itu, setiap cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini, hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), serta rakyat secara keseluruhan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: