X

Kindly register in order to view this article
!

Tukang masak patah pinggang terjatuh feri

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang tukang masak patah tangan kiri, kaki kanan dan pinggang selepas terjatuh dari Feri Pulau Angsa di sempadan laut dari Butterworth ke bahagian pulau pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian pada jam 9.10 pagi itu, feri tersebut dalam perjalanan dari kawasan seberang ke Pangkalan Raja Tun Uda.

Menurutnya, kejadian itu disedari penumpang feri berkenaan yang memaklumkan kepada kru sebelum kapten memberhentikan feri tersebut.

"Kru feri telah memberi pelampung (lifebouy) kepada mangsa namun dia tidak menghiraukannya. Melihat tindakan mangsa itu, kru feri meminta bantuan daripada Pusat Kawalan Penang Port untuk usaha menyelamatkannya.

"Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. Mangsa disahkan mengalami patah tangan kiri, kaki kanan dan pinggang namun masih dalam keadaan sedar.

"Bagaimanapun, dia tidak dapat menjelaskan bagaimana kejadian tersebut berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini

Beliau berkata, mangsa berusia 28 tahun itu adalah warga India dan mempunyai pasport sah sehingga 2026.

"Dari keterangan majikannya, mangsa telah bekerja dengannya sejak empat tahun lalu dan dikatakan berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di India," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga dilaporkan pernah mengelar tangannya sendiri ketika berada di rumah di Permatang Pauh, dua tahun lalu namun tiada laporan polis dibuat, selain mangsa juga tidak dapat menjelaskan alasan dia berbuat demikian.

Sehubungan itu Noorzainy berkata, pihaknya sedang mencari saksi kejadian berikutan tiada kamera litar tertutup di lokasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus