X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM bincang kaedah bantu penggiat seni jana semula pendapatan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berhubung langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi membantu penggiat dan karyawan seni kreatif terutamanya yang berskala kecil untuk memulakan semula aktiviti masing-masing dalam jangka masa pendek iaitu enam bulan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan yang dibuat semalam itu melibatkan pihaknya dengan wakil-wakil dari Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jabatan Penyiaran (RTM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MY Creative Ventures.

Beliau berkata, input-input daripada perbincangan tersebut akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dan dijadikan sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi yang dijangka diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Saya telah meminta setiap agensi kerajaan yang terlibat dalam mesyuarat tersebut untuk menyenaraikan bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan yang akan datang dengan menggunakan peruntukan sedia ada masing-masing dan tidak memerlukan sebarang pindaan kepada aspek kawal sedia ada.

"Agensi-agensi tersebut juga perlu memaklumkan tentang bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan menggunakan dana sedia ada tetapi memerlukan tindakan lanjut dari aspek kawal selia sedia ada yang perlu kelulusan pihak MOF," katanya.

Selain itu katanya, beliau turut memohon setiap agensi yang berkaitan untuk memberi input tentang keperluan dana tambahan yang diperlukan daripada pihak MOF bagi membolehkan bantuan diberikan.

Saifuddin berkata, beliau turut mengalu-alukan dan menghargai komitmen diberikan pihak MOTAC yang bersetuju untuk bekerjasama dengan KKMM dalam menerajui usaha-usaha membantu penggiat industri kreatif memulakan semula aktiviti masing-masing.

"Bagi pihak KKMM, saya akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) melalui agensi-agensi KKMM seperti Finas dan MDEC," katanya.

Saifuddin berkata, apa yang dilakukan KKMM ini membuktikan kerajaan mengambil berat nasib penggiat-penggiat industri kreatif tempatan yang terkesan dari segi ekonomi berikutan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pelbagai usaha sedang dan telah dilaksanakan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana semula pendapatan dan menjaga kebajikan mereka selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan baru-baru ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus