Akan atasi masalah fasiliti di TLDM Lumut

Mohamad Sabu
A
A

LUMUT - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini memberi jaminan mengutamakan penyelesaian masalah fasiliti dan kemudahan yang kurang memuaskan serta projek tertangguh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Katanya, usaha membaik pulih kuarters serta memodenkan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut harus dilakukan segera bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga TLDM berada pada tahap lebih selesa.

“Walaupun Pangkalan TLDM Lumut adalah pangkalan terbesar dengan jumlah lebih 25,000 penghuni dan telah wujud lebih 35 tahun, saya berpuas hati ia masih berdiri gah, bersih dan terjaga dengan baik.

“Namun begitu saya telah melihat sendiri beberapa masalah dan kekurangan kemudahan untuk anggota dan keluarga seperti kuarters kemudahan yang telah berusia lebih 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan serta beberapa masalah lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerjanya ke Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Lawatan itu adalah yang pertama beliau ke pagkalan tersebut sejak memegang portfolio berkenaan pada 21 Mei lalu.

Lawatan turut disertai Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Timbalannya Laksamana Madya Datuk Reza Mohd Sany dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Rosli Ramli serta Komander Pangkalan Lumut Laksamana Pertama Roslan Mohd Yunus.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerja-kerja membaik pulih dan membesarkan Masjid An Nur yang tertangguh hingga menyebabkan sebahagian jemaah terpaksa menunaikan solat di gelanggang futsal akan disegerakan.

Mengulas perkembangan lain, Mohamad menafikan khabar angin yang mendakwa beliau sedang sakit.

“Kalau saya tak datang sini maka saya tidak sihatlah. Saya sihat dan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan, kadang-kadang biasalah ada batuk, pening, bukan penyakit serius.. (saya) sihat, kuat, besar, teguh dan peramah," katanya. - Bernama