Hospital swasta dikompaun RM200,000 jual topeng muka RM11.20

Sebuah hospital swasta di ibu negara dikompaun RM200,000 oleh KPDNHEP kerana mengenakan caj RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan kepada seorang pesakit.
Sebuah hospital swasta di ibu negara dikompaun RM200,000 oleh KPDNHEP kerana mengenakan caj RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan kepada seorang pesakit.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah hospital swasta di ibu negara dikompaun RM200,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana mengenakan caj RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan kepada seorang pesakit.

KPDNHEP melalui kenyataannya hari memberitahu, jumlah harga berkenaan bersamaan RM11.20 sekeping sedangkan harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM1.50 sekeping.

"Perkara ini tular di Facebook seorang pelanggan yang dikenakan caj melampau untuk topeng muka tiga lapisan yang digunakan jururawat ketika merawat anaknya sebelum KPDNHEP membuat pemeriksaan sebaik sahaja menerima aduan pada 13 Mei lalu.

"KDPNHEP merampas sejumlah dokumen termasuk topeng muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan untuk tujuan siasatan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut KPDNHEP, kes akan dibawa ke mahkamah jika kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan.

"Penalti boleh dikenakan mengikut Seksyen 18, AKHAP 2011 bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan membabitkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000.

"KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan topeng muka mudah diperoleh pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, semua pihak yang menjual barangan harga terkawal perlu sentiasa prihatin dan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui saluran rasmi dalam talian KPDNHEP menerusi portal e-aduan http://eaduan.kpdnhep.gov.my.

"Atau hubungi talian 1 800-886-800; emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my); Ez Adu KPDNHEP (Aplikasi telefon pintar); Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp ke talian 019-279 4317," katanya.