PM adakan lawatan kerja ke Australia bermula esok

Mahathir - Foto Bernama
Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Austria bermula esok.

Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata, pada lawatan itu, perdana menteri yang akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, berpeluang mengetengahkan agenda pembaharuan Malaysia serta pengalaman negara dalam memerangi rasuah kepada masyarakat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dijadual menyampaikan syarahan di International Anti-Corruption Academy pada 21 Januari ini dan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA) di Vienna International Centre pada 22 Jan.

Antara isu yang akan diketengahkan dalam ucaptama itu ialah cara Malaysia menangani masalah rasuah dalam negara, inisiatif pencegahan rasuah kerajaan dan usahanya dalam menambah baik tadbir urus, kata Wisma Putra.

Perdana menteri juga dijadualkan bertemu Canselor Austria Sebastian Kurz serta Presiden republik itu Alexander Van der Bellen untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Malaysia dan Austria, selain berbincang tentang isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Wisma Putra berkata turut disusun ialah pertemuan perdana menteri dengan pelabur serta ahli perniagaan Austria bagi meneroka peluang meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Vienna.

Sepanjang lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya serta pegawai kanan Wisma Putra. - Bernama

Artikel Berkaitan: