Ingat, sambutan Aidilfitri hanya sehari!

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sekali lagi mengingatkan rakyat di negara ini bahawa sambutan atau ziarah-menziarahi pada Aidilfitri kali ini hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika lebih daripada tempoh tersebut, bermakna ia telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"SOP perayaan itu jelas bahawa sambutan hanya pada hari raya pertama.

"Kalau kata seseorang itu tidur di rumah yang dilawati pada hari pertama dan masih berada pada di rumah tersebut pada jam 12.01 pagi, ia telah lebih daripada 24 jam.

"Andai kata dia masih nak beraya pada hari kedua, ia salah daripada segi SOP yang dikeluarkan," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ditanya mengenai pergerakan rentas daerah dalam negeri sama yang dibenarkan pada musim perayaan dan saranan kerajaan Johor agar rakyatnya tidak melakukan perkara tersebut, beliau berkata, perkara tersebut selaras dengan keputusan kerajaan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ia tidak menyekat tetapi tidak menggalakkan. Kalau kita perhatikan setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa walaupun ada kebenaran atau kelonggaran rentas daerah tetapi ia tidak digalakkan.

"Walaupun dibenarkan pergerakan rentas daerah tetapi tidak digalakkan untuk melakukannya. Kalau boleh bukan hanya pergerakan antara daerah tetapi pergerakan di luar rumah," katanya.

Artikel Berkaitan: