Gara-gara PRK Semenyih, tempahan dewan terpaksa dibatalkan?


Muhammad Faiz (kiri) bersama salah seorang wakil keluarga yang membuat tempahan awal menggunakan Dewan Serbaguna Seri Cempaka.
Muhammad Faiz (kiri) bersama salah seorang wakil keluarga yang membuat tempahan awal menggunakan Dewan Serbaguna Seri Cempaka.
A
A
A

SEMENYIH - Di sebalik keterujaan berita politik menjelang PRK Dun Semenyih, timbul pula isu mengenai beberapa keluarga menjadi mangsa apabila tempahan awal menggunakan Dewan Serbaguna Seri Cempaka terpaksa dibatalkan.

Ketua Biro Integriti Armada Nasional, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, beberapa keluarga pelbagai bangsa yang telah membuat tempahan awal menggunakan dewan berkenaan kecewa kerana tempahan mereka terpaksa dibatalkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tanpa sebarang bayaran ganti rugi.

"Saya mendapat aduan daripada beberapa keluarga yang telah menempah Dewan Serbaguna Seri Cempaka seliaan MPKj untuk majlis perkahwinan dalam bulan Februari tahun ini, mereka kecewa kerana tempahan dibatalkan apabila pihak MPKj mahu menyediakan dewan tersebut untuk kegunaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi PRK Semenyih hujung bulan Februari.

"Tambah merunsingkan apabila kad jemputan perkahwinan berserta alamat dan peta lokasi dewan itu telah diedarkan kepada para tetamu. Ia melibatkan kos tambahan jika mahu dibuat baru.

"Tambahan pula, mereka mengalami kesukaran untuk mencari dewan lain yang berdekatan dalam waktu singkat dengan kos yang lebih kurang sama," katanya menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya.

Menerusi hantaran sama, Muhammad Faiz berkata, kira-kira tujuh keluarga terkesan dengan pembatalan tempahan berkenaan kerana penutupan dewan itu dibuat dalam tempoh lebih sebulan (dari 16 Februari hingga 31 Mac 2019).

Katanya, proses pengembalian wang tempahan dewan mereka juga dilihat rumit dan memakan masa tanpa ada sebarang ganti rugi, sebaliknya hanya pengembalian wang tempahan.

"Jadi saya mewakili Biro Integriti Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Armada Nasional memohon jasa baik pihak MPKj dan SPR agar memperhalusi mekanisme pemilihan tempat penamaan calon PRK Semenyih tersebut, supaya mereka yang menempah dewan itu lebih awal mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan: